Saturday, March 12, 2011

Gempabumi Jepun: Letupan Berlaku di Loji Nuklear

Satu letupan berlaku pada pukul 3:30 petang, waktu setempat, hari ini (Sabtu 12 Mac 2011) di loji nuklear Fukushima Daiichi, 200 km ke timur-laut Tokyo. Berikutan letupan yang mencederakan empat orang pekerja dan memusnahkan dinding loji itu, kawasan itu kini berhadapan dengan ancaman malapetaka kebocoran nuklear.



Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun memberitahu media bahawa loji tersebut sedang mengeluarkan "wap nuklear", manakala tekanan dalam reaktor nuklearnya kini dua kali ganda lebih tinggi daripada biasa.

Loji Fukushima Daiichi itu merupakan satu daripada dua loji yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Co. Sistem pendinginan loji berkenaan telah rosak berikutan kejadian gempabumi 8.9M dan tsunami pada Jumaat, 11 Mac 2011.

Sekurang-kurangnya dua reaktor pada loji Daiichi dan tiga reaktor di loji Fukushima Daini, yang terletak 16km antara satu sama lain, telah mengalami kerosakan sistem pendinginan. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi kelima-lima reaktor tersebut.

Arahan untuk mengosongkan kawasan sekitar loji telah ditingkatkan dari radius 10km ke 20km. 

Insiden ini berlaku berikutan kejatuhan paras air untuk mendinginkan reaktor ke tahap yang membimbangkan, sekaligus menimbulkan keresahan akan berlakunya malapetaka nuklear.

Sekitar pukul 11:20 pagi waktu setempat, sebahagian daripada rangkaian batang-batang bahan bakar nuklear pada reaktor no.1 loji Fukushima Daichi telah terdedah di atas permukaan air. Batang bahan bakar nuklear yang terus terdedah akan mengalami kerosakan, seterusnya mengeluarkan radioaktif.


No comments: