Pesawat perang AS dan British melakukan serangan ke atas sasaran-sasaran tertentu di Libya, sebagai susulan kepada 112 roket Tomahawk yang dilepaskan dari beberapa buah kapal di Laut Mediterranean, melumpuhkan pertahanan udara wilayah barat Libya.
Empat buah pesawat pengebom B2, masing-masing telah menggugurkan 16 butir bom ke atas beberapa pengkalan udara dan pesawat terbang Libya, unit-unit pertahanan udara bergerak dan pasukan darat yang setia kepada Muammar Gadhafi.
Serangan itu adalah awal daripada operasi "Operation Odyssey Dawn" yang menurut Pentagon bertujuan untuk menghalang Gadhafi dari terus melakukan serangan ketenteraan ke atas rakyanya sendiri, dan juga mewujudkan zon larangan terbang sebagaimana yang dikehendaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Stesen televisyen Libya melaporkan bahawa 48 orang telah terkorban dan lebih 150 lagi cedera dalam serangan roket pada Sabtu 19 Mac itu.
Gadhafi bagaimanapun enggan mengalah dan berikrar akan meneruskan serangan ke atas bandar Benghazi yang dikuasai pemberontak dan berjanji akan menangkis serangan pasukan antarabangsa yang didakwanya sebagai "pencerobohan tentera-salib kolonial".
Rampasan Kuasa
Gadhafi mula memerintah Libya sejak 42 tahun lalu selepas mengetuai kudeta (rampasan kuasa) ke atas Raja Libya, Sayyid Muhammad Idris Bin Muhammad al-Mahdi al-Senussi pada 1 September 1969. Waktu itu Raja Idris sedang berada di Turki untuk rawatan perubatan. Raja Idris meninggalkan Turki dengan menaiki kapal ke Greece, dan seterusnya hidup dalam buangan di Mesir. Beliau meninggal di Kaherah pada tahun 1983 dalam usia 94 tahun dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkburan yang amat masyhur iaitu Jannat al-Baqi di Medina.
Meskipun Raja Idris meninggal dunia ketika dalam buangan dan kebanyakan rakyat Libya dilahirkan selepas pemerintahan beliau, ramai penunjuk perasaan menentang Gadhafi dalam pergolaskan yang berlaku ketika ini telah menggunakan bendera tiga warna yang dipakai ketika pemerintahan Raja Idris serta membawa potret raja tersebut.
Pemberontakan 2011
Penentangan terhadap pemerintahan Gadhafi bermula secara terbuka pada 17 Februari 2011. Perjuangan pemberontak cepat mendapat sokongan ramai dari kalangan rakyat Libya dan mereka mula menguasai bahagian timur negara itu, termasuk Benghazi, bandaraya kedua terbesar di Libya.
Gadhafi bertahan di Tripoli dan pemberontak yang terus melebarkan penguasaan mula bergerak menuju Tripoli untuk memaksa Gadhafi melepaskan kekuasaan ke atas Libya. Enggan berundur, Gadhafi mengarahkan pasukan yang setia kepadanya untuk melakukan serangan ketenteraan ke atas pemberontak termasuk penggunaan pesawat perang. Tindakan Gadhafi itu menyebabkan ramai pegawai tinggi kerajaan dan diplomat Libya letak jawatan dan menyertai pemberontakan.
Oleh kerana juruterbang dari kalangan rakyat Libya, enggan untuk melakukan serangan ke atas sesama rakyat Libya, maka Gadhafi dikatakan telah menggunakan khidmat juruterbang upahan berbangsa Serb. Tentera upahan dari Ghana turut digunakan.
Berikutan serangan udara oleh pesawat perang Libya ke atas rakyatnya sendiri maka pada pada Khamis lepas, 17 Mac 2011, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengisytiharkan zon larangan terbang di ruang udara Libya sebagai sebahagian daripada siri langkah-langkah untuk melindungi orang awam di Libya.
Pengisytiharan itu tidak diindahkan oleh Gadhafi. Pada hari berikutnya, 18 Mac 2011, presiden AS, Barack Obama memberi amaran kepada Gadhafi untuk menghentikan keganasan ke atas rakyatnya sendiri atau akan menghadapi serangan ketenteraan dari komuniti antarabangsa.
Keengganan Gadhafi untuk menghentikan serangan menyebabkan serangan roket Tomahawk dilancarkan pada 19 Mac 2011 diikuti pengeboman oleh pesawat B2 hari ini.
No comments:
Post a Comment