Saturday, March 12, 2011

Ilustrasi Gempabumi dan Tsunami Honshu 11-03-11

Sehingga entri ini di poskan pada pukul 1:30 petang, angka kematian akibat gempabumi dan tsunami Honshu dilaporkan sudah melebihi 1300 jiwa.

Sementara itu, kerajaan Jepun sedang berusaha memindahkan puluhan ribu penduduk dari kawasan berhampiran dua pusat loji nuklear. Amaran telah dikeluarkan akan kemungkinan berlakunya kebocoran nuklear sementara pihak berkuasa bertungkus lumus dalam usaha membendung tekanan yang semakin meningkat di kedua-dua loji tersebut yang terletak 240 km ke utara Tokyo.

Gempabumi berukuran 8.9M pada hari Jumaat itu berlaku berikutan pertembungan plat tektonik dasar laut antara Plat Pasifik dan Plat Asia. Pertembungan itu menyebabkan Plat Pasifik tergelincir ke bawah dan air laut di atasnya turut tergelincir. Dalam masa yang sama, Plat Asia tertolak ke atas bersama air laut di atasnya, menyebabkan keadaan air lautan di kawasan berlakunya pertembungan itu bergelora. 



Tsunami tercetus apabila kekuatan pertembungan cukup kuat dan luas permukaan pertembungan cukup besar. Siri ombak-ombak kecil bergerak pantas ke semua arah dari pusat berlakunya gegaran, pada kelajuan menghampiri 1000km sejam, sama seperti kelajuan sebuah pesawat terbang jet.

Ombak-ombak tsunami yang mula terbentuk hanyalah kecil dan pada mata kasar ia tidak berbeza dengan ombak-ombak lautan yang biasa. Namun apabila tiba ke kawasan cetek atau pantai, ia berubah menjadi ombak raksaksa. Ombak tsunami yang memasuki kawasan teluk menjadi lebih besar kerana ombak-ombak kecil itu terkumpul lalu melonjak naik dari dasar laut.

Klip video berikut menunjukkan bagaimana dua plat tektonik bertembung lalu mencetuskan tsunami.


Klip video ini dari NOAA Centre for Tsunami Research pula menunjukkan bagaimanana ombak tsunami bergerak dari pusat gegaran di timur Honshu ke seluruh lembangan Pasifik.

No comments: