Seminggu sudah berlalu sejak campurtangan "tentera gabungan" di Libya bermula pada Sabtu 19 Mac, namun tidak ada perkara positif yang diperoleh rakyat Libya, sebaliknya hanya kemusnahan aset negara mereka. Tidak cukup dengan kemusnahan yang telah dilakukan, kekuatan serangan dirancang untuk dipertingkatkan pula dengan penglibatan NATO. Pertahanan Gadhafi telahpun lumpuh, apa perlunya NATO yang melibatkan kuasa ketenteraan 28 buah negara campurtangan lagi?
Pertahanan Gadhafi sudah lumpuh tetapi tidak ada kemajuan yang dicapai oleh pihak pemberontak, sedangkan sebelum adanya campurtangan dalam pergolakan itu kekuatan kedua belah pihak agak seimbang. Kadangkala pemberontak mara ke kawasan Gadhafi dan pada masa yang lain pasukan Gadhafi berjaya menawan kawasan yang dikuasai pemberontak.
Pemberontak Libya: Benarkah mereka mendapat sokongan majoriti rakyat Libya atau benarkah dakwaan Gadhafi bahawa pemberontakan itu didalangi pihak luar? |
Di peringkat awal pergolakan media melaporkan bahawa kebanyakan pasukan Gadhafi adalah terdiri dari tentera upahan kerana majoriti rakyat Libya termasuk dari kalangan tentera telah berpaling tadah dan menyertai pemberontakan. Jika itu kebenarannya, maka dalam keadaan pertahanan Gadhafi yang sudah lumpuh, tentunya pihak pemberontak dapat mara untuk menawan Tripoli, namun itu tidak berlaku.
Apa sebenarnya yang telah terjadi? Mungkinkah AS, UK dan Perancis, selaku pasukan terkuat dalam gabungan itu sengaja merancang keadaan di Libya sehingga pemberontak tidak dapat terus mara dan mengakhiri "perang saudara" itu dengan lebih cepat? Harus diingat bahawa minyak mentah yang terdapat di Libya adalah yang paling baik untuk kegunaan bahanapi untuk pesawat jet, dan ketiga-tiga negara tersebut pula adalah peneraju industri enjin jet.
Dengan berpanjangannya pergolakan di Libya, peluang ketiga-tiga negara tersebut lebih cerah untuk memperkuat pengaruh, strategi dan kepentingan di negara itu selepas tamatnya pemberontakan. Cadangan untuk NATO mengambilalih teraju campurtangan adalah kerana ketiga-tiga negara itu merupakan anggota utama dalam kesatuan ketenteraan tersebut. Dalam masa yang sama, pengambilalihan oleh NATO bermakna pengunduran Qatar dan UAE dari memainkan peranan.
Kuasa-kuasa Barat itu yang kini sangat ghairah untuk memusnahkan Gadhafi perlu membuktikan bahawa tindakan mereka seterusnya adalah benar-benar atas sebab kemanusiaan dan bukannya sebagai "fixed deposit" dan "bayaran pendahuluan" untuk campurtangan dalam jangkamasa yang lebih panjang di Libya dan rantau Timur Tengah.
Rakyat Libya Perlu Memainkan Peranan Lebih Besar
Dengan adanya perlindungan yang disediakan oleh komuniti antarabangsa yang merangkumi ketenteraan dan bantuan kemanusiaan, maka rakyta Libya, khususnya para pemimpin revolusi hendaklah segera menggembeling kekuatan untuk tindakan besar-besaran di setiap bandaraya dan pekan, baik di barat mahupun di timur negara itu, untuk membuat perhitungan dengan pasukan Gadhafi.
Pihak pemberontak tidak sepatutnya menyerahkan terlalu banyak peranan kepada campurtangan luar bagi menjayakan revolusi mereka. Malah jika pemimpin revolusi Libya bertindak lebih pro-aktif dan tidak bergantung kepada negara luar, mereke boleh memanfaatkan "pengiktirafan" dan sokongan antarabangsa atas perjuangan mereka, untuk bekerjasama lebih erat dengan negara-negara jiran, membuktikan kekuatan politik dan sokongan rakyat, mereka boleh meruntuhkan rejim Gadhafi dari dalam.
Oleh kerana Bangsa-Bangsa bersatu sudah memberi mandat bagi penggunaan kuasa tentera keatas Libya, maka seboleh-bolehnya penggunaannya adalah seminima dan sejitu mungkin. Serangan hendaklah benar-benar selektif, iaitu hanya pada sasaran yang benar-benar perlu dan tidak menyebabkan korban di kalangan orang awam.
Pemerintahan rejim yang kini sudah amat lemah boleh ditamatkan oleh rakyat Libya sendiri dengan penggembelingan bersepadu kekuatan mereka tanpa perlu lebih banyak kemusnahan akibat campurtangan kuasa luar. Peperangan yang berpanjangan mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi bagi rakyat Libya, hanya kemusnahan dan kerugian semata-mata.
No comments:
Post a Comment