Monday, February 21, 2011

Canggih :Memandu Kereta Guna Daya Fikiran

Ahli-ahli sains di Freie Universität Berlin, Jerman berjaya mencipta alat yang boleh menghubungkan daya fikiran manusia dengan kenderaan sehingga kenderaan itu boleh dikawal hanya dengan menggunakan daya fikiran. Dengan menggunakan alat pengesan atau sensor, bagi merekod elektroensefalogram (EEG), ahli-ahli sains tersebut telah dapat mengenalpasti pola gelombang bioelektrik untuk arahan kawalan utama pemanduan kereta, iaitu "belok ke kiri", "belok ke kanan", "pecut" dan "guna brek".


Para saintis berkenaan kemudian mencipta alat penghubung (interface) yang menghubungkan sensor tersebut kepada komputer yang disambung pula dengan alat kawalan utama kenderaan, iaitu steering, kawalan bahanapi (petrol, diesel, dsb) serta brek.

Cara Penggunaannya
Sensor EEG diletakkan di kepala pemandu. Untuk "belok ke kiri", pemandu hanya perlu berfikir yang ia mahukan kenderaan yang dipandunya itu "membelok ke kiri". Begitu juga untuk belok ke kanan, menambah kelajuan, mengurangkan kelajuan dan berhenti, pemandu hanya perlu memberi arahan secara mental.

Kalau difikir sepintas lalu, kaedah memandu ini amat bahaya dan hanya boleh digunakan oleh mereka yang benar-benar dapat mengawal fikiran sendiri. Bagi saya, tingkahlaku, perbuatan dan malah emosi, boleh dikawal, walau hanya sehingga tahap tertentu. Namun, untuk mengawal fikiran memerlukan kehebatan dan kekuatan insani yang amat tinggi.

Bagaimana jika secara tidak sedar, pemandu "dipermainkan" oleh fikirannya dan gelombang EEG itu memberi arahan, "Pecut, belok ke kanan dan rempuh sahaja gadis yang sedang berdiri di tepi kanan jalan"?

Apapun, kemungkinan para saintis dapat pula mencipta sensor yang boleh mengesan gelombang EEG dari fikiran yang tidak disedari atau separa disedari, sehingga fikiran-fikiran sedemikian boleh ditapis dan dihalang dari menembusi interface. Dengan demikian, arahan-arahan mental yang boleh membahayakan mana-mana pengguna jalanraya, akan diketepikan oleh komputer yang mengawal kenderaan.

2 comments:

Ariens77 said...

ini memang canggih!
tidak mustahil satu masa nanti ada alat dijual dimana kita boleh baca fikiran org yg ada di sekeliling kita.
canggih! canggih!
tapi
bahaya juga!!!

Pak Runa said...

Saya setuju dengan Rianah. Memang bahaya. Bandingkan keadaan, misalnya di mana terdapat 5 orang yang bercakap dengan kita dalam suatu masa yang sama. Pening kan? Nah! kalau ada sedozen orang disekeliling kita dan semua fikiran mereka "terbaca" dalam fikiran kita pada masa yang sama, tidakkah bengang? Boleh gila...