Thursday, February 24, 2011

Pengaruh Telefon Sellular Keatas Aktiviti Otak

Mungkinkah aruhan elektromagnet telefon bimbit boleh
menyebabkan barah otak?
Telefon mudah-alih, mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1985 apabila Telekom Malaysia memperkenalkan pekhidmatan ATUR (Automatic Telephone Using Radio), 450 pada bulan Mei tahun tersebut. Alat yang digunakan bersaiz cukup besar, sebesar dua blok batu-bata. Begitu juga dengan beratnya, seberat dua blok batu-bata itu. Oleh kerana itu untuk membawanya ke sana ke mari, ia terpaksa dibimbit , tak ubah seperti sebuah beg bimbit. Dengan itu, julukan nama 'telefon bimbit' digunakan untuk alat tersebut. Perkhidmatannya pula hanyalah setakat komunikasi menggunakan suara, SMS pun belum ada.


Generasi kedua (2G) mula diperkenalkan di Finland dalam tahun 1991dan memperkenalkan perkhidmatan tambahan iaitu komunikasi penghantaran data, bermula dengan SMS. Setelah 2G dilancarkan, telefon mudah alih yang lebih awal diistilahkan sebagai "generasi pertama" atau singkatnya "1G". Rangkaian 1G menggunakan isyarat analog manakala rangkaian 2G menggunakan isyarat digital. Saya tak berapa pasti, bila agaknya ia menembusi pasaran di Malaysia. Saya memperoleh set pertama saya dalam tahun 1994, yang kelihatan seperti sebuah batu asa (batu gosok). Ketika itu, harganyapun boleh tahan!

Kemajuan teknologi telefon sellular begitu pantas sehingga pada tahun 2001, generasi ketiga (3G) mula dipasarkan secara komersil. Kelebihan 3G berbanding 2G ialah dari segi kelajuan penghantaran data, iaitu iaitu sekurang-kurangnya 200 kbits/saat pada keadaan isyarat penuh. Generasi seterusnya ialah 4G (generasi keempat) yang dijangka akan meluas penggunaannya dalam tahun 2011 ini, mampu memuat turun data pada kelajuan 100 Mbits/saat apabila berada di atas kenderaan yang bergerak laju, misalnya keretapi atau dalam kereta. Dalam keadaan statik atau bergerak perlahan, 4G mampu memindahkan data pada kelajuan 1Gbits/saat.

Kini, penggunaan telefon sellular semakin meluas. Di Malaysia, amat jarang didapati sesebuah keluarga yang tidak memiliki kemudahan tersebut. Malah bagi seseorang warga Kunak, kenalannya yang tidak memiliki kemudahan tersebut boleh ia hitung dengan jarinya.

Jelas, hampir setiap rakyat Malaysia mempunyai dan tahu menggunakan kemudahan telefon sellular tetapi masih terlalu sedikit yang tahu tentang kesan penggunaan kemudahan tersebut kepada aktiviti otak.

Dalam satu kajian peringkat awal, penyelidik mendapati bahawa penggunaan telefon sellular selama 50 minit menyebabkan peningkatan metabolisma glukos (petunjuk aktiviti otak) pada bahagian otak yang berhampiran dengan antena telefon yang digunakan. Bagaimanpun, kajian tersebut yang dimuatkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) keluaran 23 Februari 2011, belum mengenalpasti kesan aktiviti tersebut dari segi kesihatan.

Menurut artikel tersebut, peningkatan dramatik penggunaan telefon sellular di seluruh dunia telah menimbulkan kebimbangan akan bahaya yang dihadapi akibat keterdedahan kepada aruhan elektromagnetik termodulasi frekuensi radio (RF-EMF). Kebimbangan utama ialah kemungkinan RF-EMF yang terhasil dari telefon sellular akan menyebabkan barah. Walau bagaimanapun, hasil beberapa kajian tentang hubungkait antara penggunaan telefon sellular dengan kejadian barah otak tidak begitu konsisten. Ada kajian menunjukkan terdapatnya pertalian, ada pula yang langsung tidak menunjukkan sebarang kaitan. Sehingga kini, tandatanya tentang isu tersebut belum lagi terjawab dengan pasti.

No comments: