Thursday, February 3, 2011

Laluan Pertempuran Yang Berlarutan di Tahrir Square

Kumpulan penentang yang berusaha memaksa perletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak, hari ini menguatkan lagi barisan selepas peristiwa tembakan malam semalam dan hari yang penuh kacau bilau pada Rabu, 2 Februari. Kekacauan itu berlaku ketika Mubarak melancarkan serangan bersepadu ke atas penentangnya dengan melepaskan pasukan-pasukan penyokongnya yang bersenjatakan belantan, batu, senjata tajam dan bom api Tahrir Square.


Dalam pertempuran itu tiada campurtangan pihak tentera. Namun dalam pertempuran pada hari Khamis sepasukan anggota tentera telah membentuk barisan antara kedua belah pihak dan nampaknya mereka mula mendesak para penyokong Mubarak untuk mengelakkan perkelahian.

Pihak penentang terus mengamalkan sikap "memprotes secara aman". Kedengaran dari belakang benteng sekatan yang mereka bina seruan, "Orang Mesir tidak akan menyerang orang Mesir yang lain!" dan "Jangan ada pertumpahan darah!"

Ketika seorang daripada mereka mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Mubarak, Mahmoud Haqiqi dari kalangan penentang menempelak rakannya itu dengan berkata, "Jangan begitu. Bertenanglah dan katakan kepada mereka bahawa perjuangan kita di sini adalah untuk kepentingan mereka juga".

Selepas berjam-jam pertempuran menggunakan batang besi, batu dan bom petrol pada Rabu yang berlarutan hingga ke malam, pertelingkahan seakan semakin merebak dengan rentetan tembakan senjata otomatik yang menggegarkan suasana kota Kaherah.

Tidak dikenalpasti samada tembakan itu datang dari penyokong Mubarak atau pihak tentera yang ditempatkan di kawasan tersebut.

Menurut seorang doktor dari klinik kecemasan sementara yang didirikan oleh penentang, dua orang terbunuh akibat tembakan manakala 45 lagi mengalami kecederaan. Selepas tembakan awal itu, pihak tentera melepaskan tembakan ke udara yang berjaya buat seketika menyuraikan orang ramai di kawasan Tahrir Square.

Pihak Kementerian Kesihatan Mesir melaporkan bahawa pada pertempuran hari Rabu seramai 5 orang terbunuh dan 836 orang cedera, sebahagian besarnya terkena lontaran batu dan dipukul dengan batang besi atau belantan kayu.

Beberapa orang rakan cuba membantu seorang penentang
yang cedera apabila penyokong Mubarak mula menyerang
penentang pada Rabu lepas
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa lebih 150 orang telah terkorban dalam kekacauan ini.

Pertempuran antara penentang (atas) dan penyokong (bawah) Mubarak
di Tahrir Square pada Rabu 2 Februari 2011

Berikutan dengan pergolakan itu, semalam Kerajaan Malaysia telah melancarkan Operasi Piramid bagi mengeluarkan lebih 11,000 rakyat Malaysia terutama pelajar, dari Mesir ke Jeddah dengan menghantar pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu.

Foto
Anggota TUDM menyertai misi menyelamat ke Mesir berlepas
berlepas dari Pengkalan Tentera Udara Subang, semalam
Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).

C130 Hercules akan berulang alik mengangkut mereka ke Jeddah dan ditempatkan di asrama Tabung Haji di sana sebelum pesawat komersial menerbangkan mereka pulang ke negara ini.

Pesawat pertama AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang semalam, diikuti C130 Hercules masing-masing pada jam 3 petang semalam dan 9.30 serta 10.30 malam tadi. MAS dijadualkan terbang jam 9.30 pagi ini dan dijangka tiba di Kaherah lapan jam selepas itu.

Operasi yang membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan Indonesia itu membolehkan sesetengah rakyat Malaysia dan Indonesia di Kaherah, Iskandariah dan Mansourah menaiki pesawat MAS, AirAsia, TUDM dan Garuda yang dimiliki Kerajaan Indonesia dan sebaliknya.

No comments: