Friday, February 11, 2011

Organisasi Monyet (sambungan) - Serangan Teratur


Serangan Bermula Kecil-Kecilan
Monyet adalah haiwan omnivor, iaitu ia boleh makan tumbuhan dan juga menjadi pemangsa kepada haiwan lain. Purata masa makan seekor monyet ialah lebihkurang 20 minit dan boleh makan sehingga 20 kali. Makanannya pelbagai jenis seperti buah-buahan, batang tumbuhan, ketam, bunga-bungaan, serangga, cendawan, rumpai, malah ada kalanya memakan tanah liat. Tabiat pemakanan yang lahap itu menjadikan monyet menjadi masalah kepada para petani.

Oleh kerana adanya organisasi dalam sesuatu kumpulan monyet maka agak sukar bagi para petani mengawal haiwan tersebut daripada menceroboh kawasan tanaman.

Berdasarkan pengalaman saya dalam menghadapi pencerobohan oleh haiwan ini, serangan awal biasanya dilakukan oleh satu atau dua ekor monyet sahaja. Kemungkinan besar ia sememangnya ditugaskan oleh ketua kumpulan mereka untuk meninjau keadaan. Serangan berikutnya akan disertai oleh lebih ramai monyet tetapi tidak melibatkan anak-anak monyet yang masih kecil. Kemuncak serangan ialah apabila keseluruhan anggota kumpulan, termasuk anak-anak monyet yang masih menyusu. Ketika itu, tanaman yang sekian lama dibaja dan dipelihara oleh sang petani akan ranap, seolah-olah baru sahaja dilanda tsunami.

Jadi, sebagai panduan bagi yang ada memelihara tanaman dan menghadapi masalah serangan monyet, apabila ada tanda-tanda tanaman dirosakkan oleh haiwan tersebut, segeralah mengambil langkah-langkah sewajarnya sebelum tiba kemuncak serangan itu,

Mengikut peraturan organisasi monyet, seperti yang ditunjukkan dalam video di bawah ini, mana-mana ahli sesuatu kumpulan yang menemui makanan, ia dimestikan memanggil rakan-rakan dalam kumpulannya. Mana-mana monyet yang melanggar peraturan itu, akan menerima padah dengan serangan ganas dari ahli-ahli kumpulannya yang lain.


Kebanyakan kumpulan monyet, termasuk beberapa kumpulan yang terdapat di Daerah Kunak, tidak lagi takut dengan kelibat manusia. Bahkan, kehadiran manusia mereka pandang sebagai suatu peluang untuk mendapatkan makanan dengan mudah. 

Di peringkat ekstrim, ada kumpulan monyet yang menyerang manusia. Pada Oktober tahun lepas, seorang bayi telah meninggal dunia akibat diserang monyet. Bayi berusia empat hari itu sedang tidur di ruang tamu rumahnya di Negeri Sembilan ketika seekor monyet menceroboh ke rumah tersebut dan melarikan bayi berkenaan. Ibu bayi tersebut hanya meninggalkannya seketika untuk ke bilik air sedang atuknya ke dapur untuk mengambil secawan air untuk diminum.

Mujur bagi para petani, monyet merupakan haiwan diurnal, iaitu ia aktif di siang hari dan berehat atau tidur pada sebelah malam. Oleh itu, kawalan terhadap tanaman yang berisiko diserang kumpulan monyet hanya perlu dilakukan di siang hari...

2 comments:

Kunak Press said...

terdapat banyak monyet di kawasan hutan sekunder campuran + hutan asli dekat sebuah bukit berhampiran kg simpang empat.

Kumpulan haiwan/monyet-monyet ini bergerak mencari makan sekitar jam 9-10 pagi dengan menyasarkan kebun-kebun dan ladang kelapa sawit di kawasan itu.

sy pernah menyaksikan kumpulan haiwan ini melompat dari pelepah ke pelepah daun pokok kelapa sawit di kawasan itu dan seterusnya ke kebun sayuran dan pokok pisang yang ada di sana.

Kunakian said...

@Kunak Press - Terimakasih atas komen dan info tambahan sdr. Sememangnya siri entri ini bertujuan berkongsi pengetahuan mengenai tabiat monyet sebagai haiwan perosak tanaman yang mendatangkan masalah kepada beberapa peladang dan (terutana) "petani kecil".
Dengan adanya pengetahuan itu, serta perkongsian pengalaman bagaimana saya sendiri mengawalnya daripada melakukan kerosakan lebih terok terhadap tanaman tebu kami, diharapkan sedikit-sebanyak dapat membantu petani-petani yang lain.
Begitu juga, kalau ada pembaca yg ada pengetahuan tentang cara mengawal haiwan tersebut, semoga dapat dikongsi bersama.