Tuesday, February 15, 2011

Perhimpunan Maulidur Rasul: Penyertaan Paling Ramai dalam Sejarah Daerah Kunak

Perasaan muhibbah dan rasa persaudaraan di kalangan masyarakat Kunak semakin terserlah. Perkara ini dimanifestasikan dalam Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kunak 1432H/2011M. Perhimpunan kali ini menyaksikan penyertaan 47 kontinjen dengan peserta yang berarak mengiringi sepanduk, tidak kurang dari 2000 orang. Yang menariknya, dua orang paderi dari gereja Kristian di daerah ini turut menyertai perhimpunan dan perarakan tersebut.

Sebahagian dari peserta perarakan sambutan Maulidur Rasul
Sambutan kali ini menunjukkan suatu perbezaan yang amat ketara berbanding sambutan pada tahun 2009. Pada waktu itu, hanya 8 kontinjen yang menyertai perarakan. Kebetulan pula ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan (Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung) baru balik dari berkursus di Pulau Silumpat pada hari sebelumnya. Suasana agak suram kerana seakan Umat Islam sendiri telah melupakan hari keputeraan Nabi S.A.W., yang merupakan pemimpin terunggul pernah memijakkan kaki di bumi Allah ini. Saya masih teringat ucapan Datuk Nilwan pada waktu itu, yang walaupun merasa agak terkilan dengan sambutan dingin itu, namun beliau masih tetap percaya dan menaruh harapan yang masyarakat Kunak, suatu hari kelak, akan berubah sikap. Ternyata kepercayaan dan harapan itu tidak sia-sia.

Seawal pukul 6:00 pagi umat Islam khasnya, dan masyarakat Kunak amnya, telahpun berbondong-bondong menghadirkan diri ke padang. Ada juga berpendapat bahawa sambutan menggalakkan itu didorong oleh keinginan masyarakat melihat wajah pemimpin mereka, yang walaupun belum sampai dua bulan mereka tidak temui, namun terasa terlalu lama. 

Datuk Nilwan sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Kunak sebagai seorang yang tidak pernah lokek untuk meluangkan masa mendengar permasalahan dan pendapat sesiapa sahaja, bukan sahaja selaku ADUN, bahkan sikap itu memang ada padanya sebelum dicalonkan mewakili BN di N51 Kunak pada PRU12.

Masyarakat Kunak sedia maklum bahawa pemimpin kesayangan mereka itu telah menjalani pembedahan pada awal Januari tahun ini dan memerlukan masa rehat secukupnya. Namun, kain rentang promosi sambutan Maulidur Rasul 1432H mempamerkan yang beliau akan melancarkan perhimpunan tersebut. Maka beramai-ramailah mereka keluar untuk menyambut hari keputeraan Junjungan Besar S.A.W. sambil mengambil kesempatan untuk melihat kembali wajah 'wakil mereka' yang telah banyak memperjuangkan nasib dan menyuarakan isi hati mereka kepada pimpinan negeri dan negara.

Pegawai Daerah Kunak (baju hijau) mewakili ADUN Kunak,
Datuk Nilwan Kabang menyampaikan sijil penyertaan kepada ketua-ketua kontinjen
Dalam mukaddimah oleh Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto, yang diamanahkan untuk membacakan teks ucapan Datuk Nilwan, beliau berkata, "Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam maaf dan beribu ampun dari Datk Nilwan Bin Kabang, ADUN N51 Kunak, yang sebetulnya dan sememangnya merancang mahu hadir pada hari ini.

"Untuk makluman, beliau sekarang ini memang sehat wal afiat, cuma sahaja atas nasihat (doktor), beliau diarah untuk berehat oleh pakar, maka beliau terpaksa menurut (untuk berehat). Jika tidak, beliau memang akan berada bersama kita di sini. Sememangnya beliau telah berjanji untuk hadir, dan hanya semalam saya menerima SMS daripada beliau yang meminta saya mewakili beliau."

Antara kandungan teks ucapan tersebut adalah seperti berikut:

 "Walau apapun hujjah yang diberikan, hakikat yang tidak dapat dinafikan , acara sambutan Maulidur Rasul telah berjaya menyuburkan perasaan cinta mendalam terhadap Nabi di kalangan umat Islam yang berada di Malaysia sejak dahulu lagi. Malah kecintaan itu turut dimanifestasikan dalam bentuk amalan harian hingga pembudayaan nilai-nilai Nabawi ini turut menjadi asas penting pembentukan tamaddun Melayu yang gilang gemilang suatu ketika dahulu.

"Penghayatan tuntas nilai-nilai Nabawi inilah yang berjaya membina watak-watak baru bangsa Melayu berjiwa merdeka, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperi kemanusiaan dan berdaya juang yang menghirup roh jihad hingga menjadi asas kekuatan tamaddun Islam berkurun lamanya. Semuanya mengambil pengajaran dari keperibadian dan perjuangan luhur Nabi Muhammad S.A.W.

"Begitu juga kita masyarakat Islam Daerah Kunak, yang terdiri daripada berbilang kaum dan keturunan, tidak pernah ketinggalan untuk sama-sama merayakan dan memperingati Junjungan Besar Nabi kita, Muhammad S.A.W., kerana ia adalah amalan yang amat baik, kerana kita ingin mendapat keredhaan Ilahi, kerana kita amat cinta kepada Nabi Besar, kerana kita ingin menerapkan gaya dan daya hidup baginda dalam kehidupan kita seharian. Perayaan ini juga telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat kita yang beragama Islam.

"Justeru sambutan Maulidur Rasul masih relevan dalam budaya masyarakat kita, kerana ia mempunyai kepentingan tersendiri untuk terus disambut. 

"Sambutan Maulidur Rasul perlu diberikan makna dan peranan, agar tidak sekadar menjadi upacara tradisi yang bersifat ritual tanpa makna, atau menjadi pesta rutin tahunan yang riuh rendah tanpa arah. Sebaliknya, sambutan Maulidur Rasul seharusnya menjadi budaya baru yang disambut setiap tahun untuk memperbaharui tekad dan iktizam demi meningkatkan lagi penghayatan nilai-nilai Nabawi dalam kehidupan buat semua.

"Perayaan ini patut disambut bagi mengingatkan peri pentingnya menjaga semangat keislaman dan kecintaan kepada Nabi agar dapat terpelihara dan kukuh dalam sanubari umat Islam di bawah tekanan modernisasi dan propaganda sekularisme. Di samping itu, dalam kita ghairah merayakan perayaan seperti ini, yang penting kita harus mengambil iktibar untuk mengkaji peranan, penerapan dan penterjamahan dalam kehidupan seharian masing-masing. Bukan bermakna gaya dan hidup kita tidak baik, tetapi masih banyak peluang dan masih luas peluang untuk sama-sama kita perbaiki diri, gaya dan daya hidup, sikap, perwatakan, tingkahlaku, perpaduan dan kesepaduan, kebersamaan dan semangat muhibbah, serta saling bantu-membantu di kalangan kita semua.

"Cara dan arah untuk memperbaikinya ialah dengan mencontohi ciri-ciri keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. sebagai "huswatun hasanah". Begitu juga gaya dan daya hidup kita seboleh-bolehnya, hendaklah mencontohi dan selaras dengan kaedah, gaya hidup dan semangat perjuangan Rasululullah dalam membentuk ummah, membangun fizikal, mental dan spiritual ummah, serta tidak ketinggalan pembangunan ekonomi ummah yang dilaksanakan secara berhemah, lemah lembut tetapi tegas dalam memathuhi setiap inci hukum syarak yang diperturunkan oleh Allah S.W.T."


No comments: