Saturday, February 19, 2011

Produk Makanan Ringan Dari Daerah Kunak: Kerepek Ubi Bergula

Kerepek Ubi

Kerepek ubi merupakan makanan ringan tradisi suku kaum yang tergolong dalam Rumpun Melayu. Ia diperbuat daripada adunan ubi kayu yang telah diparut dengan tepung ubi atau tepung kanji. 


Penyediaan Secara Tradisi.

Secara tradisi, adunan itu kemudian dileperkan di atas daun pisang kemudian dikukus. Setelah cukup masak, ia dijemur di bawah sinar matahari. Jika cuaca cukup panas ia akan kering dalam tempoh lima jam. Kerepek yang telah kering kemudian dipotong menjadi kepingan-kepingan kecil sebelum digoreng dengan minyak masak yang cukup panas. Kepingan kerepek itu akan mengembang dan cukup rangup. Seterusnya ia ditoskan sebelum digaul dengan gula yang telah dicairkan. Setelah cukup sebati, ia diangkat dan dibiarkan sejuk sehingga gula kembali menjadi keras, kemudian dihidangkan.

Kerepek ubi yang disediakan secara tradisi agak keras kerana penyediaannya lebih tebal.

Penyediaan oleh Pengusaha di Daerah Kunak

Bahan dan cara penyediaan kerepek ubi bergula oleh pengusaha di Daerah Kunak lebihkurang sama seperti kaedah tradisi. Yang berbeza ialah;
(1) adunannya lebih tipis agar kerepek itu lebih rangup,
(2) setelah adunan dileperkan ia dipotong menggunakan acuan agar saiz kerepek lebih    sekata, dan setelah kering ia tidak lagi dipotong menjadi kepingan-kepingan lebih kecil.
(3) gula yang telah dicairkan dititiskan ke atas kepingan kerepek dan bukannya digaul seperti kaedah tradisi.

Serupa Tapi Tak Sama

Terdapat beberapa pengusaha Industri Asas Tani yang menghasilkan kerepek ubi bergula saiz besar.  Di Kunak sahaja terdapat tidak kurang dari lima pengusaha yang mengeluarkan produk sedemikian, masing-masing dengan jenama tersendiri, jadi mudah untuk pengguna mengenalpasti pilihan masing-masing.

Kerepek Ubi Bergula oleh "Produk Desa" Sila Klik untuk keterangan lanjut

Sekali pandang, kerepek ubi bergula yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha di Daerah Kunak kelihatan serupa. Namun jika diteliti terdapat ciri-ciri tertentu yang membezakan antara satu sama lain, misalnya corak gula dan permukaan produk. 

Bagi yang mempunyai deria rasa yang sensitif, pasti akan dapat merasai perbezaan antara produk pengusaha yang berlainan meskipun pada asasnya bahan mentah yang digunakan adalah serupa.


No comments: