Sunday, February 13, 2011

Organisasi Monyet (sambungan) - Serangan Berjadual

Bahagian: Pertama, Kedua


Monyet merupakan haiwan diurnal yang aktif pada waktu siang sahaja. Oleh itu serangan oleh monyet ke atas tanaman hanya berlaku di siang hari. Saya dapati kumpulan monyet yang menyerang sesuatu kawasan tanaman untuk tempoh tertentu, seakan mempunyai jadual. Mungkin kumpulan monyet tersebut telah "mempelajari" dan mengenalpasti pergerakan petani di kawasan berkenaan - bila masanya petani tidak berada di kawasan tanaman, maka waktu itu diambil kesempatan oleh kumpulan monyet berkenaan untuk masuk dan mencuri hasil-hasil tanaman.

Selepas serangan pertama ke atas tanaman tebu, pada 8 Februari, maka saya selalu membuat "rondaan" agar tidak berlaku lagi pencerobohan oleh kumpulan monyet tersebut. Memang benar, tiada serangan lagi sehinggalah pada 11 Februari. Lebihkurang pukul 11:30 pagi, ketika saya meninggalkan kawasan tanaman untuk ke mesjid bagi menunaikan solat Jumaat. 

Sekitar pukul 1:30 petang barulah saya menjenguk semula kawasan tanaman tersebut dan mendapati lebihkurang 20 ekor monyet sedang berpesta porak dengan tanaman tebu saya. Agaknya, kumpulan itu baru sahaja masuk dan tidak banyaklah tanaman yang dirosakkan.

Melihat kelibat saya, dua tiga ekor pantas berlari sambil berteriak memberi amaran kepada rakan-rakannya. Saya membidik lastik ke arah satu kumpulan monyet dan melepaskan 'tembakan'. Kumpulan itu lari lintang pukang disertai anggota kumpulannya yang lain.

Kesan kerosakan oleh monyet ke atas tanaman tebu
Saya mengagak bahawa kumpulan monyet itu mungkin akan menyerang pada waktu yang sama keesokan harinya, atau lebih awal, agar sempat makan sepuasnya sebelum saya kembali melawat kawasan. Oleh itu, sekitar pukul 12:00 tengahari, senyap-senyap saya ke kawasan dan bersembunyi di sebalik rumpun tebu yang agak rimbun. Lastik yang 'loaded' dengan batu kerikil sebesar biji getah sudah tersedia. Nyamuk-nyamuk cuba mengganggu "serang hendap" itu, namun saya sudah sedia dengan losyen anti-serangga, jadi gangguan nyamuk itu tidak memberi kesan. Tidak lama kemudian terdengan "semboyan" monyet-monyet itu dari kawasan semak di atas bukit. Saya pasti, tidak lama lagi, mereka akan memulakan serangan.


Penantian itu ternyata tidak begitu lama. Dua ekor monyet berwarna kelabu merangkak perlahan-lahan keluar dari kawasan tanaman salak di kejiranan. Seekor daripadanya berdiri atas kaki belakangnya sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ubah seperti keadaan 'apes' dalam filem 'planet of the apes'. Yang seekor lagi bergerak menuju rumpun tebu berhampiran.Ia mematahkan sebatang tebu kemudian menoleh ke kiri dan ke kanan. Ia tidak terus memakan tebu tersebut. Tentunya ia cuba memastikan kewasan itu benar-benar sedang tidak dijaga. Geram betul dibuatnya, namun saya terus menahan diri daripada bertindak, kerana mahu melihat lebih lanjut cara pergerakan mereka. Monyet yang pertama menyertainya, mematahkan sebatang tebu kemudian memerhati sekeliling. Saya terus berdiam diri.

Yakin bahawa tidak ada manusia di kawasn itu, kedua-dua monyet tersebut memulakan "pesta". Sambil makan, mereka berteriak-teriak, dan rombongan monyet yang lebih banyak, dari yang bayi hingga yang tua bangka, datang menyerbu masuk. Sayapun keluar dari persembunyaian dan melepaskan tembakan batu kerikil ke arah monyet yang mula-mula masuk. Kebetulan, bidikan saya itu jitu, terkena peha monyet tersebut. Ia berteriak kuat, melepaskan tebu yang sedang dimakannya, lalu berlari tempang ke kawasan tanaman salak jiran saya. Terperanjat, yang lain turut bertempik dan bertempiaran tak tentu arah. Ada yang terlanggar pokok salak nan penuh duri menyebabkan ia berteriak semakin kuat. Dengan pantas saya mencapai batu kerikil dari poket seluar dan melepaskan tembakan demi tembakan.

Dua hari sudah berlalu sejak peristiwa itu, setakat ini belum ada lagi serangan susulan oleh kumpulan monyet berkenaan. Agaknya, mereka sedang mengatur strategi baru. Namun, mereka barangkali tidak tahu yang saya juga sedang menyediakan metode pertahanan baru dan serangbalas sekiranya mereka masih belum mengalah...

...bersambung (jika monyet itu menyerang lagi)...

2 comments:

kunakpress.blogspot said...

mungkin kumpulan haiwan seperti monyet itu keluar mencari makanan ke kebun atau ladang kerana habitat mereka (hutan asli)telah diganggu oleh manusia dlm aktiviti pembalakan dan seumpamanya menyebabkan punca sumber makanan haiwan musnah.

Nasib kita sekarang ini juga baik kerana masih dapat melihat spesies haiwan yaitu monyet borneo di daerah Kunak yg walaupun 'kehadiran' mereka mengganggu krn merosakkan hasil tanaman petani.
Jabatan yg berkaitan spt Jabatan Perhutanan sewajarnya menguatkuasa undang-undang dengan lebih menyelia kawasan habitat/ hutan yg masih ada di daerah ini daripada terus diteroka oleh manusia semata-mata tujuan pembangunan.

Bukan sahaja haiwan seperti monyet, ada juga unggas lain atau fauna spt Burung Rhinoceros Hornbill jarang-jarang dilihat melainkan di kawasan tertentu berhampiran hutan simpan di Kunak.

Post ini sangat menarik kerana banyak perkara yg boleh kita renungkan bersama.

Oh ya, pembaca masih tertunggu-tunggu kisah si 'Loh Yap' yg dulu-dulu.
Ada juga lucunya bila dengar cerita si Loh Yap dari orang-orang dahulu.
Yg bestnya itu 'limau'-nya.

Pak Runa said...

Terima kasih sdr 'Kunak Press'.
Tentang burung "hornbill", ada juga sekali-sekala singgah di Kg Cenderawasih. Lain kali kalau ada lagi, saya akan cuba buat rekaman video khusus untuk sdr.
Si Loh Yap? Haiyyaaaa...lupa woo...Hari tu dah ada draf, tapi maklumat tak cukup lengkap. Masih cari orang lama Mostyn yang boleh kasi maklumat. Insya Allah, kalau dah ready saya akan poskan jua...