Sebelum melangkah lebih lanjut ia memerhati keadaan sekeliling. Cahaya matahari yang menyinar menembusi dedaun terkadang membuatkan matanya silau. Berkali-kali ia merenggang dan mengendurkan dahi untuk menyesuaikan mata dengan kekuatan cahaya yang sekejap terang sekejap redup. Hidung dan cupingnya turut bergoyang, menari mengikut rentak dahinya.
Kali terakhir ia menjalankan tugas untuk meninjau, hampir-hampir ia menemui maut. Ia telah terserempak dengan pemilik kebun itu yang membawa lastik besar dan diiringi oleh dua ekor anjing. Masih terasa kesakitan pada punggungnya yang terkena batu kerikil sebesar biji rambutan hasil bidikan lastik petani itu.
Terasa ngeri ketika ia mengenangkan bagaimana ia terjatuh dari pokok kelapa, dua ekor anjing besar dengan lidah terjulur dan liur meleleh menerpa untuk membahamnya. Mujur ia sempat memanjat kembali pokok kelapa itu. Disitulah dia berlindung dan bertahan sehari suntuk sementara dua ekor anjing terus menyalak dan mengelilingi pangkal pokok. Menjelang detik 12 malam barulah serigala peliharaan itu beredar.
Dia memang sudah mahu letak jawatan sebagai peninjau tetapi ketua mereka berkeras tidak mahu menerima perletakan jawatan itu. Sengeri-ngeri panahan lastik sang petani, ngeri lagi renungan mata ketua monyet, lebih-lebih lagi apabila pandangan tajam itu disertai dengan pameran gigi taring yang tajam walau kuning kerana malas memberus gigi.
Monyet atau kera berekor panjang (Macaca fascicularis) sememangnya merupakan haiwan yang hidup berkelompok, dengan keahlian lebihkurang tiga puluh ekor setiap satu kelompok. Apabila sudah cukup matang untuk mengawan, monyet jantan biasanya akan meninggalkan kumpulannya lalu menyertai kumpulan monyet-monyet bujang, atau kumpulan sosial yang baru. Oleh kerana monyet jantan meninggalkan kumpulan pada usia muda maka ia lebih terdedah kepada pemangsa, penyakit dan kecederaan, berbanding monyet betina.
Apabila monyet jantan menemui kumpulan sosial monyet lain, ia akan mencabar salah satu monyet jantan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kumpulan itu. Cabaran itu akan diikuti dengan pertarungan sengit yang biasanya berakhir dengan kecederaan, malah kematian. Jika ia berjaya menewaskan penyandang maka ia akan mengambilalih kedudukannya dalam organisasi monyet itu beserta sekumpulan monyet betina yang dikuasai oleh sang penyandang. Monyet-monyet jantan yang lain hanya memerhatikan. Yang menang akan diterima sebagai ahli. Yang kalah, jika tidak mati, akan meninggalkan kumpulan untuk mencari kumpulan lain untuk dicabar pula.
Apabila sudah diterima dalam kumpulan, monyet itu tidak lagi akan dicabar oleh monyet-monyet lain dalam kumpulan itu. Namun ia harus sedar sejauh mana kedudukannya dalam kumpulan dan harus akur kepada aturan hierarki dalam kumpulan itu, yang ditentukan oleh faktor usia, saiz dan kecekapan dalam pertempuran. Jantan yang paling besar dan paling kuat akan menjadi ketua kumpulan, dan memiliki monyet betina paling ramai...
...bersambung
No comments:
Post a Comment