Saturday, February 5, 2011

Para Pegawai Mesir Berusaha Menggeser Mubarak Keluar


Pada Jumaat 4 Februari 2011, tatkala ratusan ribu penunjuk perasaan kembali membanjiri Dataran Tahrir, pentadbiran Obama dan beberapa anggota elit dari kalangan tentera Mesir dan orang awam, merangka plan untuk menggeser Hosni Mubarak keluar dari kekuasaannya. Presiden berusia 82 tahun itu semakin terasing.
Sementara tunjuk perasaan berterusan seorang anggota tentera tertidur
dalam kereta kebalnya di Dataran Tahrir
Naib presiden Mesir yang baru dilantik, Omar Suleiman, dan lain-lain pimpinan tertinggi angkatan tentera membincangkan langkah-langkah bagi menghadkan kuasa membuat-keputusan oleh Mubarak dan kemungkinan untuk mengeluarkannya dari istana presiden di Kaherah - meskipun tanpa melucutkan jawatan presiden darinya dengan serta merta. Sebuah kerajaan peralihan (sementara) yang akan diketuai oleh naib presiden selanjutnya akan berunding dengan para pemimpin pihak pembangkang bagi memindah Perlembagaan Mesir dan memulakan proses perubahan dmokrasi.
Sumber rasmi pentadbiran berkata antara cadangan yang telah dibincangkan ialah mengesyorkan kepada Mubarak untuk berpindah ke rumahnya di Sharm el Sheik, sebuah rezot tepi pantai, atau mengambil cuti sakit untuk pemeriksaan susulan kesihatannya di Jerman. Langkah-langkah sedemikian membolehkan beliau keluar secara terhormat dan berkesan untuk mengeluarkannya dari arus perdana politik, seterusnya memenuhi sebahagian daripada tuntutan utama penunjuk perasaan. 
Sementara itu, Omar Suleiman dan para pegawai tertinggi angkatan tentera digalakkan untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan kumpulan-kumpulan penentang, permusyawarahan yang akhirnya akan merangkumi bagaimana cara membuka sistem politik, menetapkan had jangkamasa untuk jawatan presiden dan menggariskan beberapa prinsip utama demokrasi untuk digunapakai menjelang pilihanraya pada bulan September.
"Semuanya itu tidak dapat dilakukan jika Mubarak masih berada di tengah-tengah proses yang dicadangkan," jelas seorang pegawai kanan pentadbiran. "Namun itu, tidak bermakna presiden mesti meletak jawatan sekarang juga."
Walau bagaimanapun, para pemimpin pembangkang berkeras tidak akan mengadakan rundingan dengan Omar Suleiman selagi Mubarak masih lagi memegang jawatan presiden.   Mereka sudahpun membuat perancangan mengenai kesan pengunduran Mubarak, jika berlaku, iaitu memastikan pegawai-pegawai kanan Mesir tidak akan cuba untuk menggagalkan gerakan menuju demokrasi berpelembagaan.
Dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper, Presiden Obama memberitahu bahawa dia percaya yang presiden Mesir itu sudah "bebas dari cengkaman psikologi" untuk terus berkuasa dengan mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding lagi. Obama enggan memberi sebarang cadangan samada Mubarak perlu letak jawatan sesegera mungkin atau sebaliknya, namun beliau menggariskan beberapa langkah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Mesir bagi memastikan "peralihan yang teratur", yang bagi kebanyakan orang, tiada jalan lain melainkan tanpa campurtangan Mubarak, jika tidak letak jawatan.
Dalam satu temuramah dengan ABC News pada Khamis, Mubarak memberitahu yang beliau sukacita untuk meletak jawatan, tetapi mendakwa jika dia berbuat demikian, "Mesir akan menjadi huru-hara."
Para pemimpin pembangkan di negara itu sudah memberi amaran akan ada risiko untuk mendapat presiden seumur hidup yang didukung tentera, jika pihak tentera yang sedang berunding untuk peralihan dari Mubarak menyekat perubahan yang lebih meluas.
Namun begitu, beberapa kumpulan cendikiawan terkemuka dan penganalisa politik mendesak perlaksanaan rancangan bagi meluluskan peralihan kuasa awal kepada Omar Suleiman, yang bagi mereka, nampaknya sedang mentadbir bagi pihak Mubarak.
"Hakikatnya, naib presiden sedang mengurus keadaan dan kami mahu ia dilakukan secara sah," kata Wahid Abdel Neguid, timbalan pengarah Pusat Kajian Politik dan Strategi Al Ahram yang juga seorang daripada yang terlibat dalam mengatur plan peralihan kuasa itu. "Melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang dan dengan tekanan-tekanan yang begitu hebat yang beliau alami, presiden tidak dapat berbuat apa-apa, tidak di sini dan tidak juga di luar negara."
Kumpulan-kumpulan yang mengemukakan cadangan itu termasuklah Nabil Fahmy, bekas duta Mesir ke Amerika Syarikat; Naguib Sawiris, seorang usahawan paling terkemuka di Mesir; Ahmed Kamal Aboul Magd, seorang peguam dan ulama terkemuka; dan Ahmed Zewail, seorang ahli kimia yang pernah memenangi Nobel Proze. Satu kumpulan telah membuat pertemuan pada hari Jumaat di pejabat Amr Moussa, Setiausaha Agung Liga Arab yang juga mungkin merupakan tokoh politik paling terkemuka di Mesir.
Amr Moussa
Menurut Abdel Moneim Qattou, seorang jeneral bersara angkatan tentera, Omar Suleiman, seorang bekas pegawai tentera, nampaknya berkongsi kuasa dengan dua orang sekutu rapatnya, iaitu Mohamed Tantawi, menteri pertahanan, dan Ahmed Shafiq, perdana menteri, seorang jeneral bersara." 
"Namun ketiga-tiga mereka itu tersepit antara kesetiaan kepada Mubarak dan kesetiaan kepada angkatan bersenjata," jelas Qattou. "Mereka enggan menyingkirkan Mubarak dan tidak mahu atau tidak mampu menggunakan kuasa ketenteraan terhadap para penunjuk perasaan - suatu tindakan yang boleh mencemarkan nama serta meruntuhkan moral angkatan bersenjata.'
"Ketiga-tiga mereka berjiwa ketenteraan," kata Qattou. "Mereka saling mengenali, rapat antara satu sama lain, dan bersama mereka berusaha untuk mencari jalan keluas dari krisis ini. Mereka mahu melakukannya tanpa sebarang pertumpahan darah dan tanpa menjatuhkan martabat Mesir atau Mubarak, dalam masa yang sama memenuhi tuntutan massa.
Pada Jumaat ketiga-tiga mereka seakan menilai semula pandangan mereka. Buat pertama kalinya Shafiq mengumumkan yang pihak kerajaan tidak akan berusaha mengosongkan Dataran Tahrir, membolehkan penunjuk perasaan berada di dataran itu tanpa had masa tertentu. 
Sementera itu, Tantawi sendiri telah melawat dataran itu pada sebelah pagi, untuk memeriksa pasukan yang ditempatkan di sekitar Muzium Mesir. Ia merupakan kemunculan julung kalinya oleh seorang pegawai tertinggi negara itu, dan para penunjuk perasaan serta kalangan pakar ketenteraan menganggapnya sebagai tanda amaran kepada penyokong Mubarak yang berpakaian preman untuk tidak lagi melakukan serangan di dataran tersebut.
Sorakan gembira kedengaran dari kumpulan penunjuk perasaan dengan kemunculan Tantawi, dan mereka saling berpegangan tangan untuk membentuk sekatan melingkari kawasan yang dilalui Tantawi. Mereka berbuat demikian untuk memastikan tiada penyokong Mubarak yang cuba mencetuskan keganasan.
Dalam sidang media Obama dua kali mengulang bahawa bagaimana peralihan itu berlku "bukanlah keputusan yang boleh dibuat oleh Amerika Syarikat mahupun mana-mana negara selain Mesir." Namun beliau menggariskan beberapa siri prinsip yang nampaknya bertujuan untuk mendesak Mubarak, dan mengurangkan pilihannya.
Pegawai-pegawai pentadbiran terus bimbang bahawa jika Mubarak disingkirkan terlalu awal akan menyebabkan masalah perlembagaan diikuti kekosongan politik. Perlembagaan sedia ada memperuntukan Speaker Parlimen mengambil alaih kuasa, sekurang-kurangnya pada nama, jika Mubarak letak jawatan.
Pemimpin-pemimpin pembangkan berpendapat bahawa Perlembagaan sedia ada terlalu memihak kepada parti pemerintah. Perlembagaan itu patut dimansuhkan segera dan Parlimen, yang dikuasai oleh parti pimpinan Mubarak, harus dibubarkan.
Diperingkat awal suatu perundingan yang dijangkakan akan menjadi beberapa pusingan rundingan, diplomat Mohamed ElBaradei, memberitahu sidang media bahawa para peguam pembangkang sedang menyediakan suatu Perlembagaan Sementara. Menurut beliau, pihak pembangkang meminta Mubarak menyerahkan kuasa kepada sebuah majlis dengan dua hingga lima anggota yang akan mentadbir negara sehingga pilihanraya diadakan dalam tempoh satu tahun.
"Hanya satu ahli dari pihak angkatan bersenjata," kata Elbaradei. "Buat masa ini, tanggungjawab utama angkatan bersenjata ialah untuk memastikan tempoh peralihan itu berjalan dengan lancar."
"Kami tidak ada niat untuk membalas dendam," tegas Elbaradei. "Mubarak harus berundur penuh hormat dan menyelamatkan negaranya."
Mohamed el-Beltagui, seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin, memberitahu organisasi itu tidak kan mengemukakan calon dalam mana-mana pilihanraya untuk menggantikan Mubarak sebagai presiden.
Tambah beliau, ahli-ahlinya mahu membuktikan ketidakbenaran alasan yang diberikan oleh Mubarak kepada pihak Barat yang pemerinatahan kuku-besinya itu adalah penting untuk membendung gerakan pelampau Islam. "Keputusan ini bukan bermakna yang kami mengalah, tetapi ia adalah suatu cara untuk menghapuskan taktik menakut-nakutkan yang selama ini digunakan oleh Mubarak untuk mengelirukan masyarakat setempat dan antarabangsa agar dia boleh terus berkuasa," jelas el-Beltagui.
Mohamed el-Beltagui yang mewakili Ikhwanul Muslimin dalam jawatankuasa pembangkang untuk perundingan membentuk kerajaan peralihan, berkata kumpulannya mahukan "pemerintahan awam", bukan berasaskan agama. "Kami mahukan demokrasi yang sebenarnya, dengan kebebasan asas dan keadilan sosial yang sebenarnya."
Seperti kebanyakan yang berada di Dataran Tahrir, el-Beltagui tidak bimbang akan kemungkinan pihak angkatan bersenjata untuk menyokong diktator baru menggantikan Mubarak. Menurutnya, kesungguhan para penunjuk perasaan akan menggagalkan usaha sedemikian.
Keadaan di Dataran Tahrir bertukar dari suasana kebencian kepada kegembiraan. Para penunjuk perasaan meninggalkan sekatan-sekatan yang mereka bina. Mereka berzikir, berdoa dan menyanyikan lagu kebangsaan di tengah-tengah dataran dimana peserta-peserta yang baru datang membawa masuk bungkusan-bungkusan roti dan minuman.
Sorakan kegembiraan penuh semangat kedengaran beberapa kali menyambut ketibaan Amr Moussa, bekas menteri luar yang lantang dan berkarisma dalam tahun 1990an, yang dipindahkan oleh Mubarak kepada kedudukan kurang berpengaruh sebagai Setiausaha Liga Arab.
Mohamed Rafah Tantawy, jurucakap Al Azhar, berkata beliau meletak jawatan untuk menyertai revolusi tersebut.
"Kedudukan saya berada pada kedudukan menyokong revolusi ini," kata beliau. "Saya adalah sebahagian darinya sehingga titisan darah terakhir."

No comments: