Kacang telur merupakan makanan ringan yang biasa dihidangkan pada musim perayaan dan juga majlis-majlis tertentu. Di Daerah Kunak, kacang telur boleh didapati dari peniaga kecil di gerai-gerai seperti Gerai Simpang Empat dan Gerai Stesen Bas Kunak. Walaupun demikian, beberapa orang pelanggan individu dan juga peruncit telah meminta pengusaha "Produk Desa" untuk makanan ringan tersebut.
Apabila diberitahu bahawa produk berkenaan yang dihasilkan oleh beberapa pengusaha lain sudah banyak di pasaran, mereka memberitahu bahawa permintaan khusus untuk keluaran Produk Desa adalah atas dua faktor utama, iaitu kualiti dan kemudahan (terutama bagi peruncit) untuk mendapatkan pelbagai jenis makanan ringan (dari satu tempat) untuk diniagakan.
Untuk tidak menghampakan permintaan pelanggan, maka pengusaha Produk Desa, Puan Satriani Mohd Ali, bersetuju untuk menambah kacang telur ke rangkaian produk makanan ringan mereka. Oleh kerana belum ada pengalaman membuat makanan ringan tersebut, maka beliau terpaksa mencari beberapa orang "guru masakan" yang lebih berpengalaman dalam bidang tersebut, dari kalangan pelbagai etnik yang terdapat di Daerah Kunak.
Beberapa resepi diperolehi dari beberapa "makcik-makcik" dan "babu-babu" yang murah hati berkongsi pengalaman. Walaupun pada asasnya, bahan utama yang digunakan adalah serupa, namun terdapat perbezaan dari segi cara pemprosesan, misalnya cara adunan tepung dengan telur, besar api yang digunakan untuk menggoreng, dan sebagainya.
Beberapa percubaan dilakukan untuk mengenalpasti resepi dan cara pemprosesan yang terbaik. Tiga ciri utama kacang telur yang dikehendaki ialah:
- Adunan tepung, telur, gula dan bahan-bahan yang menjadi "kulit" hendaklah garing, tidak meresap minyak dan tidak hangus.
- Kacang tanah sebagai "isi" hendaklah cukup masak dan juga garing.
- Produk tidak meninggalkan kesan loya atau lekit pada tekak pengguna.
Percubaan pertama, kulit nya cukup garing, tidak meresap minyak dan tidak hangus, namun kacang di dalamnya tak cukup garing. Langsung tidak menyelerakan.
Percubaan kedua, api diperlahankan. Hasilnya, okeylah. Kulit dan isi cukup masak seimbang, namun ciri ketiga yang disebutkan di atas tidak tercapai. Empat lagi percubaan dilakukan dengan cara mengubah nisbah bahan yang digunakan. Percubaan yang ke-6 dikira memuaskan. Namun begitu, saya yang telah menjadi "mangsa" sebagai "tukang try" belum berpuas hati dan mencadangkan agar satu daripada bahan dari resepi asal dikeluarkan. Cadangan itu dipersetujui dan percubaan ke-7 dilaksanakan yang kemudian digunapakai untuk seterusnya.
Bahan-bahan dalam resepi asal ialah 500g kacang tanah, 2 biji telur saiz 'A', 450g tepung gandum, 200g gula, 1 sudu teh garam, setengah sudu teh esen vanilla, dan minyak masak secukupnya untuk menggoreng. Pembaca tentu boleh mengagak bahan mana yang telah dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment