Friday, February 4, 2011

Hosni Mubarak: Dah Muak dan Mahu Letak Jawatan Tetapi...

Presiden Mesir, Hosni Mubarak dah muak dan bermaksud untuk meletak jawatan, namun dia khuatir jika dia berbuat demikian pada masa kini, akan berlaku huru-hara di negaranya. Perkara ini dijelaskan oleh presiden berusia 82 tahun itu dalam satu temuramah eksklusif oleh wartawan ABC News, Christiane Amanpour.

Christiane Amanpour dari ABC News berkesempatan menemuramah
Hosni Mubarak


Dalam pertemuan selama 30 minit itu Mubarak memberitahu bahawa beliau berdukacita dengan keganasan yang  berlaku di  Dataran Tahrir sejak beberapa hari yang lalu, namun menurutnya kerajaan pimpinanannya tidak harus dipersalahkan atas kejadian itu. Sebaliknya, Mubarak menyalahkan Ikhwanul Muslimin, sebuah parti politik yang  diharamkan.


Ditanya mengenai keganasan yang dilancarkan terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan di Dataran Tahrir, Mubarak menjawab, "Saya sedih dengan kejadian semalam. Saya tidak mahu orang-orang Mesir bertelagah sesama sendiri".


Mubarak juga memberitahu bahawa beliau terasa amat lega selepas mengumumkan Isnin lepas keputusannya untuk tidak bertanding dalam pilihanraya September akan datang.


Mengenai sorakan yang mencercanya, Mubarak berkata, "Saya tidak perduli apa orang lain kata mengenai diri saya. Buat masa ini, saya hanya mengambil berat tentang negara saya, saya mengambil berat akan hal Mesir."


"Saya tidak akan lari"


Christiane melaporkan bahawa Mubarak kelihatan letih tetapi dalam keadaan sihat. Mubarak memberitahu wartawan itu yang beliau dah muak menjadi presiden dan ingin meletak jawatan, namun dia tidak dapat berbuat demikian, kerana menurutnya, dia khuatir negaranya akan dilanda huru-hara.


Mubarak dan keluarganya masih lagi berlindung di istana presiden yang di kawal rapi oleh pasukan bersenjata, kereta kebal dan pagar dawai berduri. Sejurus kemudian, anak Mubarak, Gamal, yang suatu ketika dikatakan akan menjadi pewaris untuk menggantikan ayahnya sebagai presiden menyertai perbincangan itu. Mubarak memberitahu yang dia tidak pernah berniat untuk anaknya menjadi pewaris untuk jawatan presiden.


Mubarak menyatakan kesetiaannya kepada Mesir. "Saya tidak akan lari kemana-mana," kata beliau. "Saya akan menghembuskan nafas terakhir di bumi Mesir ini." Dia juga mempertahankan legasinya yang telah memimpin negara itu buat beberapa tahun lamanya.


"Tuan tidak memahami budaya orang Mesir."


Meskipun dia menyanjung Presiden Obama sebagai orang yang baik, Mubarak kelihatan ragu-ragu apabila ditanya samada dia merasa dirinya dikhianati oleh Amerika Syarikat. Bila ditanya pendapatnya tentang seruan tersirat pihak AS agar pengundurannya itu lebih baik disegerakan daripada dikemudiankan, Mubarak berkata bahawa dia telah meberitahu Obama, "Tuan tidak memahami budaya orang Mesir dan apa akan terjadi jika saya meletak jawatan sekarang."


No comments: