Bagi penduduk Kunak, pasar terbuka pada hari Ahad lebih dikenali sebagai Pasar Minggu. Suatu tapak khas seluas lebihkurang 3 hektar di Jalan Sungai Atas disediakan untuk para peniaga Pasar Minggu. Peniaga Pasar Minggu bukan sahaja dari kalangan penduduk Kunak malah dari seluruh pelusuk negeri Sabah. Peniaga dari luar daerah Kunak biasanya datang lebih awal, iaitu pada petang hari Sabtu. Mereka sanggup bermalam di kemah atau tapak gerai masing-masing kerana hasil jualan di pasar terbuka ini cukup mendatangkan keuntungan. Peniaga tempatan pula biasanya akan sampai ke tempat berniaga sebelum matahari terbit.
Barangan yang diniagakan di Pasar Minggu Kunak boleh dikatakan memenuhi segala keperluan harian asas. Untuk menjamu selera pengunjung mempunyai banyak pilihan termasuklah, kuih-muih tradisi, minuman segar, minuman panas, bakso, sup, nasi lemak, nasi kuning, pisang goreng panas, nasi campur, ikan panggang, ayam panggang, sate dan macam-macam lagi. Sayur-sayuran dan ulam-ulaman juga boleh didapati dengan mudah begitu juga dengan buah-buahan tempatan. Hasil laut termasuk ikan segar, ikan masin, sotong, kerang, siput, ketam, udang hatta hingga rumpai laut pun ada dijual di Pasar Minggu Kunak. Bagi yang mencari pakaian boleh pilih yang baru atau yang terpakai. Pakaian terpakai di Kunak biasanya disebut kain lelong. Berbagai jenis peralatan dan juga alat elektronik turut diniagakan. Singkatnya, “macam-macam ada” termasuklah jurujual perkhidmatan ASTRO dan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi selular terutama DIGI dan Celcom.
Pasar terbuka pada hari Rabu pula di adakan di lorong berhampiran satu-satunya pasaraya di pekan Kunak, iaitu Pasaraya Milimewa. Baranagan yang diniagakan di Pasar Rabu Kunak dihadkan kepada makanan tersedia, minuman ringan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Pasar terbuka bulanan diadakan pada tarikh-tarik tertentu setiap bulan di kawasan ladang yang mengelolakannya. Contohnya, di Ladang Tun Fuad Borneo Samudera Sdn Bhd, pasar terbuka diadakan pada setiap 12 dan 13 haribulan. Pasar terbuka di Ladang Mostyn Sime Darby Plantation Berhad pula diadakan serentak dengan hari pembayaran gaji pekerja iaitu antara 4 hingga 10 haribulan. Seperti Pasar Minggu, barangan yang diniagakan di pasar terbuka bulanan merangkumi semua jenis keperluan harian.
1 comment:
Tahniah bro.. Bagus blog ni.. aku respek sama ko.
Post a Comment