Sunday, June 28, 2009

Blogger Turns 10: What's your story?

Pos ini ditulis sebagai menyahut pelawaan blogger.com bertarikh 18 Jun 2009 untuk berkongsi cerita mengenai pengalaman sebagai penulis blog.

Saya mula mengenali perkhidmatan web dalam tahun 2000. Ketika itu, di kampung saya, belum ramai lagi yang menggunakan perkhidmatan internet. Aliran data juga sangat lambat. Saya menggunakan internet ketika itu semata-mata untuk mendapatkan maklumat terutama yang berkaitan dengan pekerjaan saya sebagai seorang pengurus ladang kelapa sawit. Laman yang paling banyak saya lawati ialah laman PORLA dan PORIM untuk mengikuti perkembangan industri kelapa sawit terutama turun-naiknya harga pasaran minyak sawit mentah.

Saya mula menyertai Blogger pada March 2009 dengan blog yang saya namakanKunak ians, yang bermaksud orang-orang Kunak. Pos pertama saya merupakan artikel dalam Bahasa Malaysia dimana saya melaporkan pengalaman bersama teman-teman mengikuti kursus Jatidiri di sebuah pulau tidak berpenghuni. Sehingga bulan April 2009 kesemua artikel yang saya poskan hanya dalam bentuk laporan.

Pada 27 April 2009 saya mendaftarkan satu lagi blog dengan Blogger untuk artikel-artikel dalam Bahasa Inggeris. Pos pertama dalam blog tersebut bertajuk Luffa Aegyptiaca masih lagi dalam bentuk laporan tetapi sudah banyak memuatkan unsur kajian. Pada 29 April 2009 cakera induk (hard disk) komputer saya telah rosak terok dan terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Sudah tentu banyak data berharga yang hilang bersama kerosakan tersebut, termasuklah data-data berkenaan dengan sejarah kampung halaman saya, Kunak, yang telah lama saya kumpul sebelumnya. Beberapa artikel saya telah terselamat iaitu artikel-artikel yang telah saya poskan ke dalam blog. Semenjak hari itu saya pun menyedari bahawa salah satu kebaikan menulis dalam blog ini ialah jaminan tidak hilangnya artikel tersebut. Sayapun mula mengumpul data kembali untuk menulis semula sejarah kampung halaman saya dan terus mengeposnya ke Blogger.

Pergaulan saya yang agak meluas dengan masyarakat kampung membawa kepada banyak perbincangan dengan mereka, ramai yang mengemukakan pandangan dan tidak kurang pula yang meminta pendapat. Perkara yang saya rasa bermanfaat untuk dikongsi dengan pembaca, saya poskan ke dalam blog.

Ketika duduk di sebuah kedai kopi bersama tiga orang rakan, kedengaran berita dari TV di kedai kopi tersebut tentang kes Influenza A(H1N1) yang sudah mula dikesan di Malaysia. Serang rakan saya, yang tertua antara kami berempat bertanya, “Penyakit apa tu? Macam AIDS kah juga?”

Sebagai seorang sizwazah dalam bidang Mikrobiologi sedikit sebanyak ada juga pengetahuan saya mengenainya maka saya memberitahu rakan saya tu, “Influenza macam selsema juga. Demam, batuk, sakit kepala, tapi tentang H1N1 ni, saya tak berapa pasti”.

“Kalau sesuatu penyakit tu disiarkan dalam berita, biasanya agak bahaya juga tu”, sahut kawan saya seorang lagi sambil menggaru-garu perutnya yang agak buncit.

Rakan tertua kami mula kelihatan gusar. Kepingan roti canai yang sudah di ambang bibirnya diletakkan kembali ke pinggan. “Ada ubatnya kah?” dia bertanya bersungguh-sungguh.

“Jangan risau sangatlah, nanti kawan kita ni selidik dan beritahu kita”, kata rakan kami yang berperut agak buncit. Sambil menunjuk kepada saya dia sambung, “Kawan kita ni bekas guru sains. Dia mesti boleh tahu macam mana mahu elak (penyakit itu), ada ubat kah, tidak ada kah”. Dia kemudian menepuk-nepuk bahu saya dan menambah, “Boleh kan?”

“Tak pastilah, Panglima”, jawabku berterus terang. “Nanti saya rujuk kembali buku teks atau nota-nota kuliah saya kalau masih ada. Di internetpun barangkali ada maklumat mengenainya.”

Sekembali ke rumah sayapun terus mengumpul maklumat dari buku-buku mengenai virus dan nota-nota kuliah lama saya mengenai penyakit berjangkit. Pengumpulan maklumat saya teruskan dengan melayari internet. Kesemuanya saya gabung serta hubungkaitkan dan sedaya upaya menulisnya dalam bahasa dan istilah yang paling mudah difaham oleh orang seperti rakan-rakan saya di kedai kopi itu. Terhasillah artikel “Mengenal dan Menangani Influenza A(H1N1)” yang saya poskan dalam blog KUNAKIANS pada 29 Mei 2009. Saya mencetak tiga salinan artikel itu dan memberikan kepada ketiga-tiga rakan saya yang disebutkan tadi.

Siri “Keajaiban Nombor” pula saya poskan ke dalam laman web atas cadangan beberapa orang bekas pelajar yang memberitahu bahawa kaedah kaedah ini telah banyak membantu mereka dalam mengikuti matapelajaran Matematik samada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Begitu juga dengan mereka yang telah meninggalkan bangku sekolah, mereka dapati bahawa kaedah ini amat berguna dalam kehidupan seharian.

Banyak perkara yang boleh diceritakan mengenai pengalaman sebagai penulis blog meskipun bagi saya baru mula menyertainya empat bulan yang lalu, apatah lagi bagi mereka yang telah bertahun-tahun berkecimpung dengannya.

Bagi saya memadailah untuk meyimpulkan dua alasan utama yang mendorong saya untuk meneruskan kegiatan ini:

1. Ia merupakan cara yang terbaik untuk berkongsi maklumat dengan mereka yang mendapati maklumat dalam blog saya berfaedah dan turut menyedari bahawa pada masa yang sama berusaha mengelak daripada mengaibkan mana-mana pihak.

2. Ia merupakan tempat menyimpan dengan selamat buah fikiran yang mungkin tidak akan terdaya untuk difikir lagi setelah usia semakin meningkat.

No comments: