Satelit seberat 2,417 kilogram itu yang dibawa oleh pesawat pelancar jenis Zenit-3SLB bertolak dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome mengikut jadual pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia atau pukul 3.50 pagi di Baikonur. Measat-3a merupakan satelit keempat kepunyaan Measat Satellite Systems Sdn Bhd dan akan mengorbit pada kedudukan 91.5 darjah Timur longitud.
Kejayaan pelancaran ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah bagi negara. Bercakap tentang sejarah, hendaknya kita jangan lupa akan titik tolak bermulanya kita rakyat Malaysia mengecap nikmat komunikasi satelit yang setaraf dengan yang dinikmati oleh rakyat di negara-negara maju. Ianya bermula dari inisiatif seorang anak Malaysia yang berjiwa besar dan berpandangan jauh, tidak lain dan tidak bukan, dia ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun sudah hampir 6 tahun meninggalkan kerusi Perdana Menteri namun hasil usaha yang Tun telah landaskan masih terus menyalur nikmat kepada kita semua.
Pada tahun 1992, berikutan pelan Wawasan 2020 yang dirangka oleh Tun bagi pembangunan infrastruktur komunikasi negara dalam memasuki abad baru, Binariang Sdn Bhd telah mengumpul satu pasukan pakar-pakar yang berpengalaman dan bermotivasi tinggi dalam bidang ini untuk membangun dan melancarkan sistem satelit komunikasi Malaysia yang pertama. Projek tersebut telah diberi nama Malaysia East Asia Satellite atau singkatnya MEASAT.
Impian ini akhirnya tercapai dengan pelancaran Measat-1 dan Measat-2 dari Pengkalan Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana pada tahun 1996. Dari pusat kawalan yang terletak 915 meter dari paras laut di Gunung Raya, Langkawi Measat-1 dan Measat-2 mula memberikan khidmat ke seluruh Asia Tenggara pada tahun itu juga. Kejayaan ini telah membawa lonjakan yang besar dan pembangunan yang pesat dalam industri telekomunikasi dan penyiaran di Malaysia, termasuklah pelancaran khidmat Pelbagai-Saluran TV digital langsung-ke-kediaman (DTH) yang pertama di dunia, iaitu ASTRO.
Semoga kita rakyat Malaysia tahu menghargai nikmat hasil usaha mereka yang telah memerah buah fikiran dan bekerja keras sehingga kita dapat mencapai ke tahap ini. Terimakasih, Tun.
Kepada generasi muda termasuklah 5 remaja bertuah yang sempat ke Baikonur untuk pelancaran Measat-3a, janganlah hendaknya mudah lupa.
Janganlah menjadi seperti sebilangan kecil di antara kita yang menggunakan sistem Measat (melalui internet) untuk menabur fitnah dan melemparkan kata-kata kesat kepada orang yang telah membawa kemudahan itu kepada kita.
No comments:
Post a Comment