Ribuan peralatan batu telah ditemui di Gua Madai oleh ahli-ahli arkeologi. Kebanyakan peralatan tersebut dibperbuat daripada batuan sungai seperti yang ditemui di Baturong. Lesung batu turut ditemui yang mungkin telah digunakan oleh Orang Purba Madai untuk mengisar makanan, memecah cangkerang makanan laut seperti kerang dan sebagainya. Kesan pewarna pada lesung menunjukkan yang ianya juga digunakan untuk menyediakan bahan-bahan pewarna.
Penemuan timbunan cengkerang yang begitu banyak di Gua Madai menunjukkan bahawa penduduknya ketika itu sering berkunjung ke tepi pantai untuk mencari sumber makanan. Walaupun demikian, kegiatan memburu masih diteruskan. Haiwan-haiwan buruan mereka termasuklah seladang dan dua spesis badak, iaitu badak jawa (Rhinoceros sondaicus) dan badak sumatera (Rhinoceros sumatrensis). Pada masa kini, badak jawa tidak lagi ditemui di Sabah.
Sekitar 5,000 tahun SM, Gua Madai telah ditinggalkan oleh penduduknya. Belum ada kajian secara terperinci yang dibuat mengenai sebab mereka meninggalkannya dan kemana mereka berpindah.
Dengan kemahiran mereka membuat peralatan batu yang berbagai bentuk untuk tujuan-tujuan tertentu maka Orang Purba Madai tentunya telah mempunyai peralatan untuk menebang dan memotong kayu. Dengan keadaan persekitaran yang sudah lebih hangat, mereka tidak lagi memerlukan dinding gua sebagai tempat berlindung dari kedinginan malam. Naluri manusia untuk terus mencari kesenangan hidup mendorong mereka untuk berada lebih dekat dengan tempat yang boleh memberikan kesenangan. Mereka telah menemui ‘khazanah’ lautan yang memberi jaminan bahawa keluarga mereka tidak lagi perlu berlapar apabila pemburu pulang dengan tangan kosong.
Tidak ada sebab lagi kenapa Orang Purba Madai harus menetap di dalam gua bersama dengan kelelawar dan burung-burung lelayang. Mereka sudah muak dengan najis haiwan-haiwan itu yang semakin menebal di lantai gua. Orang Purba Madaipun keluar beramai-ramai ke kawasan yang lebih hampir dengan pantai. Kemahiran mereka dalam membuat peralatan batu untuk pelbagai tujuan kini mereka gunakan untuk membentuk alat yang boleh digunakan untuk menebang kayu-kayu kecil yang memang banyak di daerah ini. Dengan kayu, kulit kayu, akar, rotan dan dedaun pelepah palma mereka membina pondok. Wujudlah perkampungan terawal di Daerah Kunak pada 5000 tahun SM.
No comments:
Post a Comment