Saturday, October 23, 2010

Kunak Yang Harmoni Bhg 1: Pengenalan


Masih terlalu kurang yang mengetahui tentang pekan kecil ini yang terletak tepat di muara Teluk Lahad Datu (dahulu Teluk Darvel) di Sabah. Malah kemunculan namanya di kebanyakan peta Negeri Sabah masih jarang dipaparkan. Itulah pekan Kunak, pusat pentadbiran Daerah Kunak, sebuah daerah yang kaya dengan pelbagai khazanah alam semulajadi.

Daerah ini telah didiami oleh umat manusia sejak puluhan ribu tahun dahulu dan telah menjadi pusat penyebaran bumiputera ke penjuru segenap daratan Borneo, malah kemungkinan besar ke lain-lain bahagian di Nusantara.
Penghijrahan itu berlaku berperingkat-peringkat dalam tempoh yang amat panjang dan hanya sedikit yang yang terus menetap dalam kelompok-kelompok kecil. Yang berhijrah dan keturunan mereka kemudiannya berulang-alik ke daerah ini untuk mengutip sumber alam semulajadi serta serba-sedikit perdagangan dengan mereka yang terus menetap.



Ketibaan orang-orang Eropah yang bermula dengan Portugis di Melaka pada tahun 1511 tidak menghalang perdagangan bebas antara penduduk di kepulauan Nusantara dari terus berlangsung. Dengan termetrainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 Nusantara telah terbahagi kepada tiga – Jajahan British (kini meliputi kawasan Malaysia dan Singapura), Jajahan Belanda (kini meliputi kawasan Indonesia) dan Jajahan Sepanyol yang kemudian di jual kepada Amerika (kini meliputi kawasan Filipina).
Indonesia mengisytihar kemerdekaan dari Belanda pada 17 Ogos 1945 manakala Filipina memperoleh kemerdekaan dari Amerika pada 4 Julai 1946. Pada waktu itu, negeri ini masih dibawah pemerintahan British, namun di Daerah Kunak ramai warga kedua-dua negara tersebut yang berada di negeri ini bekerja sebagai nelayan, pedagang dan  juga sebagai pekerja kepada syarikat-syarikat perladangan dan pembalakan milik orang-orang British. Bahkan majoriti penduduk daerah ini waktu itu adalah warga kedua-dua negara jiran tersebut.

Penduduk Majoriti
Ketika Sabah mencapai kemerdekaan dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, sebahagian daripada warga Filipina dan Indonesia itu mengambil keputusan untuk menggabungkan diri sebagai rakyat Malaysia, memanfaatkan Artikel 26 Perjanjian Malaysia 1963.  Oleh sebab itulah sehingga sekarang kebanyakan penduduk Kunak terdiri daripada keturunan etnik suku kaum  dari Filipina dan Indonesia, terutama Bajau, Suluk dan Bugis.
Sebahagian lagi enggan berbuat demikian kerana bimbang dengan berbuat demikian, mereka kelak akan dihalang oleh kerajaan Filipina dan Indonesia untuk bertemu sanak-saudara mereka yang masih tinggal di kedua-dua negara tersebut. Suatu kebimbangan yang ternyata tidak berasas. 


4 comments:

Sam'z Ha said...

sy berharap sangat penulis dpt mneruskn penulisan artikel sperti ini .. sbagai ank muda kunak, trlalu banyak prkara yg kami blum tahu brkenaan sjrah dan latar blkg daerah kunak .. diharap dgn artkel sbegini dpt mmberikn sdikit pngetahuan strusnya mmpu mmpromosi sjarah kunak yg unik ini d mata dunia .. insyaAllah ..

Pak Runa said...

@Sam'z Ha: Insya Allah akan diteruskan tapi mengambil masa sedikit. Saya perlu mendapatkan lebih banyak fakta dan juga informasi dari orang-orang veteran kita, selagi mereka masih ada.
Terimakasih atas sokongan anda. Memang diharapkan anak muda Kunak seperti anda berbangga dengan tanah tumpah darah sendiri dan terus meningkatkan martabatnya dan mempertahankan keharmoniannya.

darkis said...

Salam Kunakian...
saya sala sorg peminat setia blog ini. Sungguh teruja saya membaca artikel ini, harap tuan dpt diteruskan...

Pak Runa said...

Terimakasih Darkis.
Saya juga selalu cross-refer serta link dengan entri-entri http://semuakunak.blogspot.com/sebagai salahsatu cara untuk mendapat dan menyalurkan maklumat mengenai daerah bertuah ini setepat mungkin.