Tuesday, June 8, 2010

A COOL SPOT IN MOSTYN

Walau cuaca panas dengan suhu sekitaran sehingga 36 darjah celsius, namun airnya tetap dingin. Air itu keluar dengan derasnya dari celah-celah batuan di suatu sudut lalu mengisi kolam batu yang disediakan oleh pihak Sime Darby Ladang Mostyn. 

Di sudut yang bertentangan air melimpah keluar ke kolam kedua. Aliran air itu membolehkan keadaan air di dalam kolam pertama sentiasa berganti dengan air segar dari celah-celah batu.


Kolam itu hanya seluas sebuah gelanggang bola keranjang dengan kedalaman antara dua hingga enam kaki namun ia cukup sesuai untuk berseronok dan mandi-manda bersama seisi keluarga di musim cuti.




Jika anda membawa keluarga bersama, pastikan anak-anak hanya turun ke kolam apabila bersama dengan orang dewasa. Kanak-kanak hendaklah ditegah daripada berada di kawasan yang dalam iaitu di sudut timur-laut kolam dimana air dari celah-celah batu mengalir keluar.


Bagi yang kurang mahir berenang dan mahu juga mencuba ke kewasan dalam itu, bawalah pelampung. "Gelengan airpun jadilah, janji boleh terapung," kata sepupu saya.







Matair Mostyn ini terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Kunak, pada koordinat U 04 41.713, T 118 08.474 di kawasan Mongkok Division Ladang Mostyn. Sejauh 2.32 kilometer ke tenggara pula ialah Terowong Misteri Mostyn. Jadi sekali buat lawatan ke terowong tersebut, bolehlah terus pula ke kolam dingin ini untuk mandi-manda.



Dua buah pondok ada disediakan oleh pihak pengurusan ladang. Satu terletak di tepi jalan ladang yang lazimnya digunakan oleh pengunjung untuk menyediakan juadah yang mereka bawa bersama.





Pondok yang satu lagi terletak di tengah-tengah kolam kedua dan amat sesuai bagi mereka yang ingin mengecapi kedamaian sambil merehatkan minda atau mencari ilham.


Tong sampah turut disediakan untuk kegunaan pengunjung dan kerjasama semua diperlukan untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan kawasan ini.
Terimakasih kepada pihak Sime Darby Ladang Mostyn kerana membenarkan rombongan kami menggunakan kemudahan ini pada 08 Jun 2010.

No comments: