Penduduk tempatan menamakan bunga terbesar di dunia sebagai bunga bangkai kerana ia berbau seperti bangkai. Kini ia lebih dikenali sebagai Bunga Rafflesia sempena nama seorang pengembara yang juga pengasas koloni British di Singapura iaitu Sir Stamford Raffles.
Nama beliau diabadikan bersama tumbuhan berkenaan kerana beliaulah yang mengetuai ekspedisi hutan di Sumatera yang menemui dan buat pertama kalinya merekodkan genus tersebut pada tahun 1818. Bersama Raffles ialah Dr Joseph Arnold seorang doktor bedah dari angkatan tentera laut, lalu spesis yang terbesar diberi nama Rafflesia arnoldii, sempena nama mereka berdua. Bunga R. arnoldii boleh mencapai diameter sehingga 100 sentimeter dengan berat sehingga 10 kilogram.
.Rafflesia tidak mempunyai daun, batang, mahupun akar. Ia merupakan tumbuhan parasit dengan haustoria seakan bebenang yang menyusup dalam batang pokok menjalar dari genus Tetrastigma (Yunani: Tetra = empat; stigma = bahagian bunga yang menerima debunga). Dalam keadaan ini ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kewujudan Rafflesia dalam hutan hanya dapat diketahui apabila ia mula mengeluarkan putik bunga berwarna cokelat kemerahan dengan saiz sebesar kubis. Selalunya putik bunga itu tumbuh dari batang Tetrastigma yang menjalar dalam tanah walau kadang-kadang terdapat juga putik tumbuh pada batang yang berada di atas paras tanah.
Dengan saiznya yang begitu besar ia tentunya juaga mengeluarkan banyak sari. Bau sari itu yang seakan-akan bau bangkai beserta dengan warnanya seakan-akan daging menarik perhatian lalat dan serangga lain. Peralihan lalat dan serangga itu dari satu bunga ke bunga lain menghasilkan pendebungaan bagi Rafflesia.
Bunga Rafflesia tidak bertahan lama. Selepas 3 atau 4 hari ia akan layu menjadi sisa-sisa berlendir dan meninggalkan buah bersaiz lebihkurang 15 sentimeter yang mengandungi ribuan biji kecil.
Sebanyak 27 spesis Rafflesia dikenali tumbuh semulajadi di kawasan hutan dengan ketinggian antara 500 hingga 700 meter di Semenanjung Malaysia, Borneo, Sumatera dan Filipina.
No comments:
Post a Comment