Tuesday, June 15, 2010

GERAI SIMPANG EMPAT KUNAK

Deretan gerai berhampiran bulatan Simpang Empat Kunak merupakan tempat persinggahan utama bagi pengguna jalanraya yang melalui Daerah Kunak samada dari Tawau dan Semporna untuk ke daerah-daerah lain mahupun sebaliknya. Mereka biasanya singgah membeli minuman ringan, buah-buahan, kerepek, kuih-muih dan lain-lain makanan ringan sebelum meneruskan perjalanan.


Namun begitu, gerai yang dibina sendiri oleh pengusaha ini adalah sangat daif dan langsung tidak sesuai dengan peranannya sebagai 'tumpuan pandangan pertama' (first impression) bagi orang luar, tentang Kunak. Sebahagian besar gerai-gerai berkenaan dibina menggunakan papan atau kayu buangan dengan bumbung daripada zink terpakai. Disamping itu kedudukan gerai yang terlalu dekat dengan jalanraya boleh membahayakan peniaga, pelanggan dan juga pengguna jalanraya.




Usaha untuk membina gerai yang lebih baik dan dengan kedudukan lebih selamat sememangnya pernah dicadang oleh ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang termasuk di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Cadangan awal ialah untuk berunding dengan pemilik sebidang tanah yang terdapat di belakang gerai tersebut untuk mendapatakan tapak bagi pembinaan kompleks gerai bertingkat lengkap dengan stesen bas dan tempat letak kereta. Malangnya, pemilik tanah tersebut tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, bilangan peniaga serta pengunjung gerai semakin bertambah. Bilangan kenderaan yang singgah di tepi jalan turut bertambah dan keadaan keselamatan semakin terancam. Sesuatu perlu dilakukan segera sebelum kemalangan dahsyat berlaku.
Menyedari keadaan itu Datuk Nilwan yang ditemani Encik Susilo Sumarto (Pegawai Daerah Kunak), Encik Rajih (Penolong Pemungut Hasil Tanah), Tuan Haji Hassan (JKR) dan beberapa orang pegawai kerajaan telah melawat ke kawasan gerai tersebut bagi meninjau alternatif untuk membolehkan peniaga meneruskan usaha dengan gerai yang lebih baik dan dalam keadaan lebih selamat.





Dalam tinjauan itu, sebuah batu penanda sempadan ditemui dipercayai sebagai sempadan antara rizab jalan dengan ladang kelapa sawit yang terdapat di belakang gerai. Jika benar, bermakna gerai boleh diundurkan dalam lingkungan 15 hingga 20 kaki ke belakang. Lorong hentian kenderaan kemudian boleh diperluaskan di hadapan gerai. 




Datuk Nilwan meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk segera melaksanakan kerja-kerja memastikan kedudukan sebenar sempadan berkenaan dan memasang pancang. Pihak Pejabat Daerah seterusnya diminta menyusul dengan perancangan dan pelaksanaan pembinaan gerai baru.
Para peniaga di Gerai Simpang Empat yang sempat kami temui menunjukkan rasa gembira dan merasa terharu atas keprihatinan Datuk Nilwan dan rombongan yang bersungguh-sungguh berusaha membela nasib mereka dan seterusnya menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk meneruskan perniagaan.
"Berniaga di gerai inilah satu-satunya punca pendapatan saya sebab suami saya sudah tidak bekerja lagi kerana sudah melebihi umur persaraan", kata seorang peniaga. "Hendak bertanipun, kami tidak memiliki tanah".
Seorang peniaga lain pula memberitahu bahawa selama ini beliau amat bimbang jika pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan merobohkan deretan gerai tersebut. Beliau merasa amat lega dan bersyukur setelah mendengar sendiri perbincangan Datuk Nilwan dengan Encik Susilo serta pegawai-pegawai kerajaan yang turut serta bagi membina gerai lebih baik dan selesa di kawasan tersebut.

No comments: