Gotong royong untuk membersihkan kawasan Pasar Rabu Kunak telah diadakan pada 26 Mei 2010.
Gotong royong tersebut yang dianjurkan oleh Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej akan perlunya segenap lapisan masyarakat bekerjasama menjaga kebersihan pekan.
Dalam ucapan pelancarannya, ADUN Kunak, YB Datuk Nilwan berkata, "Walaupun Pekan Kunak hanya merupakan pekan yang kecil namun ianya akan tampak indah dan memberikan keselesaan kepada semua penduduk jika ia bebas daripada sampah sarap".
"Tanggungjawab untuk menjaga kebersihan pekan bukanlah terletak di bahu Majlis Daerah Kunak sahaja, malah menjadi tanggungjawab semua penduduk dan pengunjung pekan ini", tambah Datuk Nilwan.
Turut serta dalam acara gotong royong tersebut ialah Pegawai Daerah Kunak, Encik Susilo Sumarto dan beberapa orang pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan orang ramai.
Tinjaun kami mendapati kebanyakan peniaga di Pasar Rabu tidak menyediakan tong sampah untuk pelanggan mereka dan orang ramai membuang sampah ke merata tempat.
Adalah disarankan agar MDK menyediakan tong-tong sampah yang sesuai, seperti yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kota Kinabalu, di tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan orang ramai, disamping pemungutan sampah berjadual yang lebih kerap dan langkah-langkah sewajarnya untuk menyedarkan masyarakat setempat akan kepentingan menjaga kebersihan pekan.
No comments:
Post a Comment