Sunday, February 28, 2010

MENAIKI KAPAL KIMANIS KE KUNAK UNTUK MENEROKA

Kunak, Ahad 28 Februari 2010—Penduduk Kampung Lormalong yang sebahagian besar terdiri daripada waris peneroka Rancangan Lormalong menyambut ulangtahun ke-41 ketibaan 71 keluarga peneroka ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Kunak.
Dalam ucapan peresmiannya,  ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang, memberitahu bahawa sejarah penerokaan tanah rancangan di Lormalong itu bermula dengan usul daripada Datuk Haji Zainal Gunong (Allahyarham) di zaman kerajaan pimpinan USNO. Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk Kunak untuk memiliki tanah sendiri. Keadaan hidup sebagai peneroka, yang memerlukan tempoh agak lama untuk mendapat pulangan menguntungkan tidak menarik minat penduduk Kunak berbanding dengan kerja yang mereka lakukan pada masa itu sebagai nelayan, pembalak atau sebagai buruh di  ladang-ladang. Sebahagian besar daripada mereka meninggalkan tanah rancangan dan kembali ke pekerjaan asal mereka.
Untuk mengisi kekosongan itu, Datuk Hj Zainal telah meminta Tun Said Keruak (Allahyarham) untuk mendapatkan peneroka dari kawasan pantai barat negeri Sabah. Hasilnya, seramai 71 keluarga dari Kota Kinabalu, Tuaran, Tenom dan Kota Belud telah datang ke Lormalong untuk menjadi peneroka. Mereka datang dengan menaiki kapal laut yang diberi nama “Kimanis”.

No comments: