Suatu kajian yang diterbitkan pada 17 Februari menunjukkan bahawa mereka yang ceria, bersemangat tinggi dan bersyukur tidak mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang sering bermurung.
Sidang pengarang percaya bahawa kajian itu, yang diterbitkan dalam jernal European Heart Journal, sebuah jernal kardiologi terkemuka di Eropah, merupakan yang pertama menunjukkan hubungan berasingan antara emosi positif dengan penyakit jantung koronari.
Dr Karina Davidson yang mengetuai kajian itu berkata bahawa meskipun ia hanya merupakan kajian secara pemerhatian, ia memberikan petunjuk akan adanya kemungkinan untuk mencegah penyakit jantung secara merangsang emosi positif manusia. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa terlalu awal untuk memberikan nasihat-nasihat klinikal mengenainya tanpa penyelidikan lebih mendalam.
“Kita amat memerlukan ujian-ujian klinikal yang menyeluruh. Jika ujian-ujian itu selaras dengan keputusan kajian kami, maka hasilnya tentu amat penting untuk menerangkan secara spesifik apa yang boleh dilakukan oleh para penjawat klinik dan juga pesakit, untuk meningkatkan tahap kesihatan,” kata Dr Davidson, yang merupakan seorang Profesor Madya dalam bidang Perubatan dan Psikiatri dan Pengarah Center for Behavioral Cardiovascular Health di Columbia University Medical Center, New York, AS.
Dalam tempoh sepuluh tahun, Dr Davidson dan rakan-rakan telah membuat pemerhatian ke atas 1,739 orang dewasa yang sihat tubuh badan (862 lelaki dan 877 wanita) yang menyertai Kajian Kesihatan Nova Scotia tahun 1995.
Pada permulaan kajian, jururawat-jurawat terlatih menilai risiko penyakit jantung para peserta, melalui pengakuan peserta itu sendiri dan juga secara penilaian klinikal. Ini diikuti dengan penilaian tanda-tanda tekanan, kurang kemesraan, kerisauan, dan tahap ekspresi emosi positif peserta, yang dikenali sebagai “aruhan positif” (positive affect).
Aruhan positif ialah pengalaman emosi kenikmatan seperti keriangan, kegembiraan, bersemangat dan kepuasan. Perasaan-perasaan sedemikian boleh jadi berupa sementara, tetapi ia biasanya stabil dan seakan-akan suatu tabiat, terutama pada peringkat umur dewasa. Aruhan positif selalunya tidak terikat dengan “aruhan negatif”, maka seseorang yang umumnya ceria dan berpuas hati kadangkala boleh menunjukkan kerisauan, kemarahan atau tekanan.
Dengan mengambilkira perbezaan umur, jantina, faktor-faktor risiko kardiovaskular dan emosi negatif, para penyelidik mendapati bahawa dalam tempoh sepuluh tahun itu, peningkatan aruhan positif telah menurunkan risiko penyakit jantung sebanyak 22% bagi setiap mata pada skala lima-mata yang mengukur tahap ekspresi aruhan positif (bermula dari tiada kepada ekstrim).
Dr Davidson berkata: “Peserta yang tidak memiliki aruhan positif adalah 22% lebih berkemungkinan mengalami serangan jantung ischaemia (kekurangan aliran darah ke jantung yang menyebabkan kesakitan pada daa) berbanding mereka yang memiliki hanya sedikit aruhan positif, yang seterusnya juga 22% lebih berisiko berbanding mereka yang memiliki aruhan positif sederhanan.
“Kami juga dapati bahawa jika seseorang yang biasanya positif, mengalami saat-saat murung pada masa kajian, pada keseluruhannya tidak menjejaskan kedudukan individu tersebut yang berada pada tahap kurang berisiko mendapat penyakit jantung.”
Para penyelidik sekadar mengagak mekanisma yang mungkin bagaimana emosi positif dapat menjadi pencegah penyakit jantung. Termasuk dalam andaian tersebut ialah kadar denyutan jantung, jadual tidur dan kekerapan merokok.
“Terdapat beberapa kemungkinan,” kata Dr Davidson. “Pertama, secara fisiologi, mereka yang memiliki aruhan positif mempunyai masa rehat dan kelegaan yang lebih lama. Oleh yang demikian, mereke mungkin memiliki barorefleks (mekanisma tubuh badan yang mengawal tekanan darah) dan pengaturan parasimfatetik yang lebih hebat. Kedua, mereka mampu pulih dari perkara-perkara yang menekan perasaan lebih cepat dan tidak menghabiskan terlalu banyak masa mengungkit kembali peristiwa-peristiwa sedemikian, yang nampaknya menyebabkan gangguan fisiologi. Ini hanyalah merupakan spekulasi, sebab kami masih pada peringkat awal dalam usaha membongkar rahsia mengapa emosi positif dan keriangan memberi kesan positif ke atas kesihatan.”
Untuk lagu "Don't Worry, Be Happy!" oleh Bobby McFerrin sila klik disini.
No comments:
Post a Comment