Thursday, February 11, 2010

HUBUNGKAIT INTERNET DENGAN TEKANAN PERASAAN

Mereka yang menghabiskan terlalu banyak masa melayari internet lebih berkemungkinan menunjukkan gejala tekanan perasaan. Demikian menurut hasil kajian oleh sekumpulan ahli-ahli psikologi dari University of Leeds.
Para penyelidik mendapati bahawa terdapat di kalangan pengguna yang tidak dapat mengawal diri, dimana interaksi sosial sebenar mereka telah diambil alih oleh ruang sembang talian-terus (online chat)  dan laman-laman interaksi melaui internet. Ketagihan melayari internet sedemikan dipecayai boleh menimbulkan kesan yang serius kepada kesihatan mental.
Dr Catriona Morrison, dari University of Leeds, seorang pakar dalam bidang berkenaan berkata, “Internet kini memainkan peranan yang besar dalam kehidupan moden, namun kebaikannya datang bersama keburukan.”
“Ramai yang menggunakan internet untuk tujuan membayar bil, membeli-belah dan mengirim e-mail, namun terdapat golongan pengguna yang mendapati sukar mengawal masa di internet, sehingga keadaan itu mengganggu aktiviti harian mereka.”
Mereka yang ‘ketagihan internet’ biasanya menghabiskan lebih banyak masa melayari laman-laman lucah, permainan talian-terus (online gaming) dan komuniti talian-terus. Insiden mengalami tekanan perasaan dikalangan mereka adalah lebih tinggi berbanding pengguna-pengguna biasa (pengguna internet tetapi bukan dari golongan ketagihan internet).
“Kajian kami menunjukkan bahawa penggunaan internet berlebihan memang ada kaitan dengan gejala perasaan tertekan, tapi kami belum dapat memastikan yang mana datang kemudian – samada mereka yang mengalami tekanan perasaan akan tertarik kepada internet atau internet yang menyebabkan timbulnya perasaan tertekan itu.
“Yang jelas ialah, bagi sebilangan kecil manusia, pengggunaan internet berlebihan mungkin petanda amaran akan kecenderungan mereka mengalami tekanan perasaan.”
Insiden peningkatan kes bunuh diri di kalangan remaja di Bridgend, Welsh pada tahun 2008 telah banyak menimbulkan persoalan tentang kaitan laman-laman hubungan sosial yang mungkin mempengaruhi pemikiran sensitif para remaja sehingga menimbulkan tekanan perasaan. Hasil kajian di Leeds itu menunjukkan bahawa orang muda lebih berkemungkinan menjadi ketagih internet, berbanding mereka yang berusia pertengahan tahun, dan purata umur kumpulan penagih berkenaan ialah 21 tahun.
“Kajian ini memperkuat tanggapan umum bahawa keterlaluan dalam pengggunaan laman-laman web yang memberi perkhidmatan sebagai pengganti fungsi sosial biasa, boleh dikaitkan dengan gangguan psikologi dan ketagihan,” tambah Dr Morrison. “Kini kita perlu mengambilkira kesan kaitan tersebut ke atas implikasi sosial yang lebih meluas dan menentukan dengan lebih jelas akan kesan penggunaan internet berlebihan terhadap kesihatan mental.”
Kajian dilakukan dengan menilai tahap penggunaan internet dan tahap tekanan perasaan pada 1,319 orang berusia antara 16 hingga 51 tahun, dimana 1.2% didapati ‘ketagihan internet’. Meskipun peratusan itu kecil, ia lebih besar daripada insiden tahi judi di UK, iaitu 0.6%. Kajian ini akan diterbitkan dalam jernal Psychopathology pada 10 Februari. 

No comments: