Thursday, February 25, 2010

SALAHUDDIN AL-AYYUBI PENGASAS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL



Allah swt. berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab:21)


Apabila nama Salahuddin Al-Ayyubi (1137M - 1193M) disebut, kebanyakan daripada kita tentunya akan membayangkan seorang panglima perang, gagah berani, bijaksana dan beretika tinggi. Beliau disanjung dan disayangi oleh rakan serta disegani oleh lawan. Sememangnya, sejarah telah mencatatkan yang demikian sebagai sifat beliau.

Barangkali yang masih kurang diketahui ialah bahawa Salahuddin Al-Ayyubi juga merupakan orang pertama yang mengusulkan agar peringatan maulid Nabi Muhammad SAW diadakan.
Sejarah perayaan maulidur Rasul bermula pada zaman kekhalifaan Fatimid (keturunan dari Fatimah az-Zahrah, putri Nabi Muhammad SAW). Ketika itu, Salahuddin merupakan panglima perang, dan Masjid Al-Aqsha di Palestin berada dalam genggaman musuh. Umat Islam yang berada di Jerusalem telah dianiaya dan ditindas.
Untuk membebaskan Masjid Al-Aqsha dengan cara yang terhormat, Salahuddin berpendapat bahawa tenteranya dan umat Islam keseluruhannya perlulah meneladani sifat-sifat juang dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW. Untuk itu, sejarah kehidupan Rasulullah hendaklah dihayati. Beliau lalu mengusulkan kepada khalifah agar mengadakan peringatan maulid Nabi Muhammad SAW.
Hasilnya, semangat jihad kaum muslimin berkobar. Tentera muslimin di bawah pimpinan Salahuddin merupakan pasukan yang berdisiplin, bermoral tinggi dan penuh etika.
Pada tahun 1187M, di bawah pimpinan Salahuddin, kaum Muslimin memasuki Jerusalem dan membebaskan Al-Aqsha dari cengkaman musuh-musuh Allah. Tawanan perang dilayan dengan baik dan diberi kebebasan untuk keluar dari Jerusalem tanpa syarat -- sangat berbeza dengan sikap mereka yang telah menyiksa dan menindas orang-orang Islam di Jerusalem ketika mereka memegang tampuk kekuasaan di kota itu.

"SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL 1431H"

1 comment:

Pencinta AhlulBait said...

Salam,err...awak tahu tak,Khilafah Fatimiyyah(Fatimid) tu brmazhab syiah? sementara Salahuddin Ayyubi bermazhab Sunni? Setelah dpt menguasai Jurusalem,Salahuddin mengakhiri pemerintahan Khilafah Fatimiyyah dan diganti dgn Pemerintahan Dinasti Ayyubiyah yg bermazhab Sunni.

Khalifah Fatimiyyah menyambut Maulidurrasul untuk mengimbangi sambutan2 syiah lain seperti Hari Karbala dan Ghadir Khum.Maap,cerita awak nampak saling bertentangan.Sekian