Tuesday, February 2, 2010

KEMEROSOTAN DAYA INGATAN -- RISIKO MENGALAMI STROK

Orang yang mengalami kemerosotan daya ingatan atau keupayaan berfikir kemungkinan menghadapi risiko serangan strok yang lebih tinggi, termasuklah mereka yang pernah didiagnosa sebagai mengalami dementia(1). Demikian menurut kajian yang dilaporkan dalam Neurology, jernal perubatan American Academy of Neurology, cetakan 2 Februari 2010.
"Strok merupakan penyebab utama kelumpuhan dan kematian di kalangan mereka yang lanjut usia,” kata Bernice Wiberg, MD, seorang penyelidik di Uppsala University di Sweden.
“Oleh yang demikian pengesanan awal orang-orang yang berisiko tinggi dalam hal serangan strok adalah penting agar langkah-langkah pencegahan dapat dilakukan.”
Dalam kajian itu, seramai 930 lelaki di Sweden, yang berusia dalam lingkungan 70 tahun dan tidak pernah mengalami strok telah mengambil bahagian dalam tiga ujian mental. Ujian pertama, Trail Making Test A, melibatkan penilaian keupayaan pemusatan perhatian dan penglihatan. Yang kedua, Trail Making Test B, melibatkan penilaian keupayaan melaksanakan dan mengubahsuai sesuatu perancangan. Yang ketiga, Mini Pemeriksaan Keadaan Mental, seperti yang biasa digunakan oleh para doktor untuk menilai kemerosotan kognitif.
Dalam tempoh 13 tahun, 166 lelaki telah mengalami strok atau TIA(2). Penyebab utama strok ialah infarksi otak, (brain infarction, iaitu kematian sebahagian sel-sel otak akibat kekurangan aliran darah ke bahagian otak tersebut).
Kajian itu mendapati bahawa, 25 % dari kalangan mereka yang berada pada paras pencapaian paling bawah, dalam ujian penilaian keupayaan melaksana dan mengubahsuai sesuatu perancangan (Trail Making Test B) adalah tiga kali lebih berkemungkinan mengalami strok atau infarksi otak berbanding 25 % dari kalangan kumpulan itu yang berada pada paras pencapaian tertinggi. Dua ujian yang lain tidak memberikan apa-apa petunjuk mengenai kemungkinan berlakunya strok atau infarksi otak.
"Hasil kajian kami telah menyokong pendapat bahawa kemerosotan keupayaan kognitif pada seseorang adalah petanda risiko baginya untuk mengalami strok,” kata Wiberg. “Ujian Trial Making Test B adalah mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi, dengan kajian lanjut, ia boleh digunakan untuk mengenalpasti orang-orang yang memerlukan langkah-langkah pencegahan strok.”

(1)             Dementia ialah kemerosotan secara beransur-ansur pada fungsi kognitif (keupayaan memahami) akibat kecederaan atau penyakit pada otak, selain dari yang biasa berlaku akibat usia yang semakin meningkat.
Kesan yang biasa ialah gangguan ingatan, daya tumpu, percakapan dan keupayaan menyelesaikan sesuatu peremasalahan. Di peringkat yang lebih parah ia boleh mengakibatkan pesakit kebingungan, sehingga tidak mengingat hari, bulan, tempat, malah sehingga tidak ingat siapa dirinya yang sebenar.

(2)             TIA (Transient ischemic attack) ialah suatu keadaan saraf yang menunjukkan gejala dan tanda-tanda strok tetapi hanya berlaku buat seketika. Ia juga dikenali sebagai strok kecil (mini stroke) dan berlaku berikutan kekurangan aliran darah dan oksigen (ischemia) ke otak. Ia biasanya disebabkan oleh pengecilan pada arteri karotid (saluran darah utama pada bahagian leher yang membekalkan darah ke otak).
TIA lazimnya berlaku dalam jangkamasa 2 hingga 30 minit dimana pesakit mengalami masalah penglihatan, pening, lesu atau sukar mengeluarkan kata-kata.
Jika tidak dirawat, pesakit menghadapi risiko lebih tinggi untuk serangan strok utama. Pesakit TIA menhadapi risiko 25 % lebih tinggi berbanding orang lain untuk mendapat serangan strok atau lain-lain komplikasi yang serius dalam tempoh 90 hari dari serangan TIA.


No comments: