Friday, February 26, 2010

PENGISIAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERLU PENDEKATAN INOVATIF

Pada kebiasaannya di negara kita ini, maulidur Rasul diraikan dengan majlis tahlil dan doa pada malam hari dan perarakan, pertandingan sepanduk serta satu slot ceramah pada siang hari. Demikian pula keadaannya yang berlaku di Daerah kami di Kunak. 
Meskipun bilangan penduduk yang keluar berarak lebih besar berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, namun yang menjadi topik utama perbicaraan orang ramai yang hadir sama seperti tahun-tahun sebelumnya:  "kontinjen mana akan memenangi pertandingan sepanduk." 
Dari seawal pukul 5:40 pagi tadi (Jumaat, 26 Februari) lagi sudah ramai penduduk Kunak berhimpun di padang pekan. Berjalan melawat suatu kontinjen ke kontinjen yang lain, hanya kedengaran gurau senda dan ungkapan-ungkapan umum seperti yang biasa kita dengar di kedai kopi. 
Dari padang pekan, kontinjen berarak ke Dewan Masyarakat dimana ucapan, ceramah dan penyampaian cenderakenangan juga hadiah pemenang pertandingan sepanduk diadakan. Dewan penuh sesak sehingga kerusi tidak mencukupi. Namun, ketika slot ceramah disampaikan, jelas di wajah kebanyakan hadirin akan kurangnya perhatian ke atas isi ceramah berkenaan.
Suatu pendekatan lebih inovatif perlu dilakukan agar sambutan hari kelahiran Rasulullah SAW, manusia paling istimewa pernah menjejaki bumi ini, diisi dengan program-program yang lebih bermakna.
Sebagai contoh, mengambil tema sambutan "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah", suatu tayangan gambar atau slaid, bahkan pameran boleh diadakan, yang melakar kembali saat-saat umat Islam muncul sebagai umat yang perkasa kerana ukhuwah yang kental. Ia mungkin dapat menarik lebih perhatian, menyentuh sanubari peringkat umur yang lebih meluas dan boleh bertahan lama dalam minda hadirin.
Juga boleh diadakan pertandingan kuiz antara sekolah-sekolah mengenai sejarah hidup dan perjuangan Nabi Muhammad SAW serta tokoh-tokoh Islam terkemuka. Ia secara langsung akan mempergiat minat dan semangat golongan muda, khususnya pelajar, untuk mendalami dan menghayati Sejarah Islam.


No comments: