Wednesday, January 20, 2010

SUMATERA HADAPI ANCAMAN GEMPABUMI LEBIH BESAR



Gempabumi yang meranapkan Kota Padang di Sumatera Barat September tahun lepas dan telah mengorbankan lebih dari 1000 jiwa bukanlah ‘gempabumi besar’ yang diduga oleh ahli-ahli sains kajibumi. Kejadian itu meningkatkan kemungkinan berlakunya gempabumi yang lebih besar.
Demikian rumusan utama suatu kertaskerja yang diterbitkan pada 18 Januari dalam jernal Nature Geoscience. Berikutan penerbitannya, Professor John McCloskey dari University of Ulster, menyeru pihak-pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, NGO, untuk segera membuat persediaan bagi melakukan tindakan kecemasan bagi menyelamatkan jiwa dari terkorban bila gempabumi berlaku dan bukannya menunggu sehingga saat ia melanda.
Beliau, seorang yang tersohor dan disegani di peringkat antarabangsa dalam kajian tentang gempabumi Sumatera, menegaskan, “Kita tidak sepatutnya terus-menerus menyangkal sesuatu yang sesungguhnya bakal terjadi; gempabumi sememangnya berlaku, ia mengorbankan jiwa, ia akan terus mengorbankan lebih ramai umat manusia jika kita tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Kita mesti bermula dari sekarang.”
Professor McCloskey dan rakan-rakan telah menganalisa gempabumi bermagnitud 9.3 yang mencetuskan tsunami 2004 dan memberi amaran akan kemungkinan besar berlakunya satu lagi gempabumi besar di kawasan Lautan Hindi berhampiran Sumatera, 10 hari sebelum bencana itu benar-benar terjadi.
Beliau yang mengetuai Kumpulan Geophysics Research di Institut Kajian Sains Persekitaran di Ulster berkata, “Selepas seminggu dihantui dengan peristiwa memilukan di Haiti, menyedari bahawa gempabumi lebih besar sedang berada di ambang, benar-benar menggusarkan hati.
“Sudah beberapa tahun ahli-ahli sains mengingatkan tentang berlakunya tegangan yang semakin meningkat di satu daripada persempadanan plat bumi terbesar di sebelah barat Sumatera. Pergeseran antara plat Lautan Hindi dengan plat Asia lebih dari 200 tahun menyebabkan pengumpulan tenaga yang amat besar.
“Seperti menarik busur raksaksa dengan perlahan, kedua-dua plat kerak bumi itu melengkung-membengkok, mengumpul tenaga ratusan tahun lamanya. Kemudian, dalam beberapa saat sahaja tenaga terkumpul itu dilepaskan lalu menjana gempabumi yang dahsyat, dan kadangkala menyasarkan dasar laut, mencipta tsunami.
“Di perairan sebelah barat Sumatera, 'busur' itu sedang ditarik kencang. Goncangan terbesar ialah 200 tahun dahulu dan tegangan ketika ini mungkin lebih besar berbanding waktu itu; gempabumi besar akan berlaku tidak lama lagi.
“Sains gempabumi masih jauh dari kesempurnaan dan ramalan mengenainya masih terlalu samar.
“Sains dan ahli-ahli sains tidak mempunyai jawapan pasti untuk semua. Kita tidak pasti bila dan di mana gempabumi besar seterusnya akan terjadi. Ahli-ahli sains tidak sependapat dalam banyak perincian tentang gempabumi, bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berhenti, tetapi banyak perkara yang dipersetujui oleh semua.
“Bagi Sumatera Barat, semua tanda-tanda menunjukkan perkara yang sama -- satu lagi gempabumi besar akan melanda kawasan itu dan akan berlaku bila-bila masa sahaja.
“Ahli-ahli sains tidak dapat mengagak sebesar mana gempabumi itu, namun dalam hal ini semua sependapat ianya amat besar, mungkin melebihi magnitude 8.5, jauh lebih besar dari yang melanda Haiti. Kami juga tidak dapat menentukan sebesar mana tsunami yang terjadi tetapi ia berupaya untuk menimbulkan malapetaka – malah mungkin lebih buruk dari peristiwa tahun 2004.

“Kendatipun demikian, masa depan tidak seharusnya seburuk Haiti. Kita sedar gempabumi itu sedang menjelang tiba dan kita mungkin masih ada beberapa tahun, malah mungkin beberapa dekad untuk mempersiapkan diri.
 “Dengan paparan derita dan korban bencana dari sehari ke sehari berikutan gempabumi Haiti, dan kelembapan tindakbalas antarabangsa, tanggungjawab pemerintah Indonesia, masyarakat dan NGO antarabangsa adalah amat besar.



“Kita mesti segera bekerja bersedia menerima kedatangan gempabumi itu jika kita tidak lagi mahu melihat peristiwa pilu dimana kanak-kanak menghembuskan nafas terakhir hanya kerana tidak dapat diberikan sedikit jahitan pada lukanya atau sekadar balutan pada betisnya yang patah.
“Tragedi September di Padang dan tragedi Januari di Haiti sewajarnya member keinsafan akan peri mustahaknya persediaan. Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan impak gempabumi. Banyak daripadanya adalah kaedah mudah yang telah dicuba dan diuji.
“Ketika berlaku gempabumi sebuah meja mungkin boleh menyelamatkan jiwa. Kaki meja cukup kuat menahan tekanan, jadi apabila bumbung runtuh, terdapat ruang udara kecil di bawah meja. Seseorang yang berada di situ masih ada peluang untuk diselamatkan.
“Cukup jelas yang kita belum lagi mengatur diri secukupnya di peringkat antarabangsa.
“Sungguh mendukacitakan menyaksikan kanak-kanak terlantar di lantai hospital tanpa ubat penahan sakit, langsung tiada bantuan perubatan. Berapa ramai jiwa yang dapat diselamatkan andai masyarakat antarabangsa membuat persiapan sewajarnya untuk bencana sedemikian?
“Ahli-ahli sains tidak dapat memastikan bila dan di mana, tetapi akan berlakunya lagi gempabumi seperti itu adalah suatu kepastian.
“Sesuatu yang malang bagi dunia ini, bahawa sedikit sekali kemajuan yang kita capai dalam hal membuat persediaan. 'Masyarakat antarabangsa' membuat persediaan perang yang sungguh rapi, tetapi amat sedikit usaha membuat persediaan bagi membantu golongan miskin, iaitu golongan yang paling banyak menderita ketika bencana berlaku.
“ Jika kita menganggap diri bertamaddun, kita perlulah memastikan keadaan seperti itu tidak akan berulang lagi. Jadikanlah motto kita : ‘Lain kali, kami akan melakukannya dengan lebih baik’.
“Lain kali itu mungkin lebih hampir dari yang kita sangkakan.”





No comments: