Sunday, January 24, 2010

HAITI: TERSELAMAT SELEPAS 11 HARI TERPERANGKAP


Pantang mati sebelum ajal. Begitulah keadaan yang telah dialami oleh Wismond Exantus, seorang lelaki Haiti yang terselamat selepas terperangkap selama 11 hari di bawah runtuhan bangunan sebuah kedai di Port-au-Prince.
Adiknya, Jean Elit Jean Perry telah terdengar bunyi yang datang lebihkurang 20 kaki dari bawah runtuhan kedai itu dan memberitahu pasukan penyelamat dari Greece.
Ketika gempabumi berlaku pada 12 Januari lepas, Wismond, 24 tahun, telah meluru untuk berlindung di bawah sebuah meja tulis dalam kedai itu. Runtuhan bangunan telah jatuh ke atas meja itu dan disekelilingnya dan beliau terperangkap dalam ruang yang sempit di bawahnya.
Dalam kegelapan, Wismond meraba sekelilingnya dan mendapati beberapa tin minuman serta biskut bertaburan, telah berkongsi ruang sempit itu dengannya. Itulah yang telah menyelamatkannya dari mati kelaparan dalam timbunan itu.
“Ketika itu, saya sangat lapar”, kata Wismond dari katilnya di hospital. “Saya tidak tahu samada hari telah siang ataupun malam.
Saya selalu memikirkan tentang pengalaman yang saya boleh ceritakan andai saya selamat keluar.
“Saya makan dan minum apa sahaja yang dapat saya capai dalam kegelapan itu.”

Wismond kemudian menoleh ke arah keluarganya yang berada disisinya di hospital itu dan berkata, “Jika kamu berada dalam ruang sempit, saya juga pasti akan berusaha untuk mencapai kamu.”
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengumumkan yang kerajaan Haiti telah menghentikan operasi menyelamat. 
Meskipun demikian, puluhan pasukan antarabangsa meneruskan usaha mencari kalau-kalau masih ada yang terselamat seperti Wismond di celah-celah runtuhan bangunan.

No comments: