Tuesday, January 5, 2010

BULAN 'AVATAR' MUNGKIN WUJUD



Menurut  seorang ahli falaq terkemuka, bulan yang boleh dihuni seperti yang digambarkan dalam filem Avatar kemungkinan besar akan menjadi fakta sains dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dalam filem 3D itu, Na'vi, iaitu suatu makhluk seakan manusia dengan ketinggian 3.5 m, berekor dan berkulit biru mendiami bulan Pandora yang mempunyai ekosistem menyerupai Bumi.

Pandora mengorbit sebuah planet gas yang seakan-akan planet Jupiter.
Dr Lisa Kaltenegger, seorang ahli falaq Amerika Syarikat percaya bahawa 'Pandora sebenar' akan dapat ditemui tidak lama lagi. Dalam kajian beliau, sebuah teleskop yang sedang dalam perancangan pembinaan akan mampu mengesan bulan dari sistem suria lain dan menentukan samada ia boleh dihuni atau sebaliknya.

Teleskop Angkasalepas James Webb (JWST) milik NASA dijadualkan untuk pelancaran pada 2014.
Dr Kaltenegger memberitahu, "Jika Pandora wujud, kita mempunyai potensi untuk mengesannya dan mengkaji atmosferanya dalam dekad akan datang."
Ahli-ahli falaq telah mengesan ratusan planet gas mirip Jupiter yang mengorbit bintang, namun tiada yang didapati sesuai untuk kehidupan seperti keadaan Bumi.
Namun begitu, bulan yang bertanah dan mengorbit planet gas boleh menyokong hidupan jika ia berada dalam "zon kehidupan" dalam sistem surianya, iaitu kawasan yang suhunya membolehkan air berada dalam bentuk cecair.
"Kesemua planet gas yang besar dalam sistem suria kita mempunyai bulan bertanah dan berais," jelas Dr Kaltenegger. "Itu menunjukkan bahawa planet-planet serupa Jupiter di sistem suria lain kemungkinannya besar juga mempunyai bulan. Beberapa daripada bulan-bulan itu boleh jadi mempunyai saiz sebesar Bumi dan berupaya mewujudkan atmosfera di sekelilingnya."
Bulan seumpama Pandora boleh dikenalpasti tatkala ia "transit" merentas permukaan bintang induknya. Jika bulan itu mempunyai atmosfera, ia akan menyerap sedikit cahaya dari bintang induk berkenaan, dan menghasilkan spektograf yang boleh diguna oleh ahli-ahli sains untuk mengenalpasti komposisi atmosfera itu.
Menurut hitungan Dr Kaltenegger, Alpha Centauri A, bintang yang digunapakai dalam plot Avatar, merupakan target yang baik bagi ahli-ahli falaq untuk mencari bulan yang boleh dihuni kehidupan.
Alpha Centauri ialah sistem suria paling dekat dengan sistem suria Matahari, iaitu 4.37 tahun-cahaya. Ia terdiri dari 3 bintang dimana Alpha Centauri A adalah yang terbesar dan sedikit lebih terang daripada matahari kita.
"Alpha Centauri A merupakan sebuah bintang yang terang, dekat, hampir serupa dengan matahari kita, maka ia  memberikan kita signal (membolehkan kita untuk mendapatkan spektogram) yang jelas," kata Dr Kaltenegger. "Dengan hanya beberapa transit, kita akan dapat mengesan air, oksigen, karbon dioksida dan metana pada bulan yang menyerupai Bumi, seperti Pandora."  

No comments: