Tuesday, January 26, 2010

ASTEROID BERHAMPIRAN-BUMI DIKESAN


Sebuah asteroid yang belum pernah dilihat sebelumnya telah dikesan oleh satelit WISE milik NASA. Objek berhampiran Bumi itu yang diberi tanda pengenalan sebagai 2010 AB78, ditemui oleh WISE pada 12 Januari.

WISE atau nama lengkapnya, Wide-field Infrared Survey Explorer ialah sebuah satelit dilengkapi dengan teleskop yang sensitif kepada gelombang cahaya inframerah. Ia merupakan projek yang dibiayai oleh NASA untuk mengumpul maklumat tentang sistem suria kita, Bima Sakti dan alam semesta. Antara objek-objek yang akan dikaji oleh WISE ialah asteroid, bintang-bintang paling sejuk dan paling malap, serta galaksi-galaksi paling bersinar.


Objek yang sekurang-kurangnya berada pada tahap suhu bilik akan mengeluarkan sinar inframerah. Oleh itu, teleskeop dan alat-alat pengesan WISE perlu sentiasa disejukkan. Ia dilakukan menggunakan cryostat – seakan-akan peti ais tetapi ia berisi hidrogen beku, bukan air batu.

WISE telah dilancarkan dari Pengkalan Tentera Udara Vandenberg, California pada 14 Disember 2009 menggunakan roket Delta II yang meletakkan WISE pada orbit kutub sejauh 543 km dari Bumi.

Ketika WISE sedang mengelilingi Bumi sambil mengimbas angkasaraya di atasnya, ia telah ‘melihat’ asteroid itu beberapa kali selama satu hari setengah sebelum objek itu beredar jauh dan menghilang dari pandangannya.


Asteroid 2010 AB78 dianggarkan kini berada 158 juta km dari bumi. Ia mempunyai diameter lebihkurang 1 km dan sedang mengelilingi matahari dalam orbit lonjong yang condong ke satah sistem suria. Objek itu menghampiri matahari sebagaimana hampirnya bumi ke matahari, namun kerana orbitnya yang condong, ia tidak akan melintas rapat ke bumi dalam tempoh berkurun lamanya.

Buat masa kini tiada ancaman dijangkakan ke atas bumi oleh asteroid tersebut. Walau bagaimanapun, ahli-ahli sains akan terus memantaunya.

Objek-objek berhampiran-bumi, ialah asteroid dan komet yang orbitnya melintas berdekatan orbit bumi mengelilingi matahari. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, objek-objek sedemikian boleh mendatangkan bencana kepada Bumi. Sebuah asteroid dengan garispusat 10 km dipercayai telah menjunam ke bumi 65 juta tahun dahulu, lalu mencetuskan bencana global yang menyebabkan kepupusan dinosaur.

WISE dijangka dapat menemui 100,000 asteroid yang belum dikenali sebelumnya dalam bengkung asteroid utama kita, iaitu suatu lingkaran serpihan batu yang terletak antara orbit Mars dan Jupiter. Ia juga akan turut mengesan ratusan objek-objek berhampiran-bumi yang belum pernah dikesan sebelum ini.

Dengan kemampuannya mencerap cahaya inframerah, WISE berupaya mendedahkan objek-objek berhampiran-Bumi yang paling gelap, iaitu objek-objek yang tidak memantulkan cahaya tampak. Hasil tugasan WISE akan menyumbang maklumat-maklumat penting tentang saiz asteroid dan komet. Anggaran saiz asteroid menggunakan cahaya tampak boleh mengelirukan kerana objek angkasalepas yang besar tetapi mempunyai hanya bahagian kecil yang boleh memantul cahaya, akan kelihatan kecil sahaja. Sebaliknya dengan menggunakan pengesan inframerah, anggran saiz sebenar objek itu dapat dilakukan dengan lebih tepat kerana sebahagian besar bahagian objek akan memancarkan gelombang inframerah. Maklumat tentang saiz objek itu membolekan para penyelidik memberikan jangkaan lebih tepat akan kemungkinan Bumi dihentam objek-objek angkasalepas yang boleh membawa bencanan.

No comments: