Wednesday, January 27, 2010

MEMBUKA LALUAN KE ARAH INOVASI

Malaysia Inovatif 2010 baru sahaja selesai dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya beberapa jam tadi. 

Penganjuran Malaysia Inovatif 2010 adalah seiring dengan hasrat untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju.


Dengan tema 'Meraikan Kreativiti' ia bertujuan bertujuan menyedarkan masyarakat Malaysia terutama generasi muda dan akar umbi mengenai pentingnya inovasi dan kreativiti, dan seterusnya dapat membudayakannya sebagai amalan seharian. 


Ini bertepatan dengan konsep 1Malaysia di mana setiap anak Malaysia adalah modal insan berpotensi yang penting kepada negara. Oleh itu, budaya kreativiti dan inovasi perlu diterapkan supaya mereka dapat mengoptimakan potensi masing-masing ke arah menyumbang dalam pembangunan negara.


Pelbagai definisi telah diberikan untuk menerangkan apa itu innovasi. Dari beberapa bahan rujukan yang dapat saya capai dan gabungkan maka saya kira inovasi bolehlah ditakrifkan seperti berikut:
Inovasi ialah suatu proses dimana sesuatu buah fikiran atau ciptaan diterjemahkan kepada suatu bentuk faedah yang boleh dimanfaatkan oleh umat manusia. 

Untuk sesuatu buah fikiran dianggap sebagai innovasi, ia mestilah boleh digunapakai berulangkali dengan penjimatan kos dan memenuhi sesuatu keperluan.

Innovasi melibatkan penggunaan maklumat, imajinasi, dan inisiatif untuk mendapatkan nilai baru atau nilai yang lebih tinggi dari sesuatu punca, serta merangkumi semua proses dimana cetusan-cetusan buah fikiran diolah atau diterjemahkan menjadi produk yang berguna. 

Langkah pertama untuk membuka laluan ke arah innovasi ialah dengan mempersoal sesuatu yang sudah sekian lama dianggap sebagai yang terbaik dari segi kaedah, peraturan, dan sebagainya. Jika tanggapan itu menjadi taboo untuk dipersoalkan, maka ia akan menghambat innovasi. 

Jika sesuatu kaedah misalnya, dibuka untuk dipersoal dan dibincangkan, maka akan timbul pelbagai buah fikiran yang menyumbang dalam usaha meningkatkan nilainya atau mendapatkan kaedah lain yang lebih baik.

No comments: