Tuesday, January 19, 2010

HAITI : ANDAI GEMPA DAPAT DIJANGKA

Gempabumi 12 Januari lepas, yang membawa malapetaka ke Haiti sememangnya diluar kemampuan manusia pada masa kini untuk mengagak atau menjangkakannya. Demikian menurut mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Namun begitu ahli-ahli seismologi kini sedang mencapai kemajuan untuk membolehkan mereka mengenalpasti kawasan-kawasan berisiko tinggi untuk dilanda gempabumi besar dalam beberapa dekad mendatang.





"Buat masa kini, tiada kaedah mahupun teori saintifik untuk menjangka akan berlakunya gempabumi," kata David Oglesby, seorang professor madya sains bumi di University of California, Riverside, AS.
Ahli-ahli kajibumi semangnya telah sekian lama menyedari bahawa suatu gempabumi besar akan menggoncang garis satah bumi di bawah kawasan Port-au-Prince, ibu negeri Haiti.  Masalahnya ialah sangat sukar untuk dijangka bila ia akan berlaku.

Pada tahun 2008 ahli-ahli geologi AS telah membentangkan suatu kertaskerja yang merumuskan bahawa Port-au-Prince, yang sudah lama tidak dilanda gempabumi semenjak peristiwa tahun 1751, kelak akan menghadapi gempa berukuran 7.2 magnitud. Namun begitu, mereka tidak dapat memberikan penjelasan samada ia akan berlaku keesokan harinya atau 30 tahun akan datang.
Menurut Sipkin, seorang ahli geofizik Geological Survey AS,"Kita masih kekurangan kemampuan untuk benar-benar menjangka bila akan belakunya sesuatu gempabumi, maksudnya menentukan tarikh, saiz kejadian dan lokasinya."
"Kita hanya mengalami kemajuan dalam meramal gempabumi, dimana ahli-ahli sains dapat mengenalpasti kawasan-kawasan yang berkemungkinan besar akan dilanda gempabumi berskala tinggi dalam tempoh beberapa dekad akan datang," jelas beliau.
Ramalan sedemikian dilakukan dengan mengukur kekuatan tegangan yang terjadi pada kawasan sesuatu pertembungan plat-plat bumi, kemudian diperkirakan berapa banyak tenaga yang akhirnya akan dibebaskan dari tegangan tersebut.
Walau bagaimanapun, kejadian gempabumi boleh berlaku dimana-mana bahagian disepanjang pertembungan plat bumi berkenaan, dan tindakan memindahkan penduduk dari satu tempat ke tempat lain menghadapi risiko mengeluarkan mereka dari mulut harimau ke mulut buaya.
Kertaskerja yang dibentangkan dalam persidangan Caribbean Geological Conference ke-18 di Santo Domingo pada tahun 2008 itu antara lain merumuskan bahawa dengan gempabumi berukuran 7.2 magnitud Port-au-Prince, dengan kanun binaan yang lemah dan cara pembinaan yang bermutu rendah, menghadapi malapetaka. 




Malapetaka Haiti 12 Januari lepas merupakan gempabumi berukuran 7.0 magnitud. Pusat gempa berlaku berhampiran Léogâne, lebihkurang 25 km ke barat Port-au-Prince, pada kedalaman 13 km. Ia berlaku kira-kira pukul 4:53 petang waktu tempatan, dan diikuti oleh sekurang-kurangnya 33 gegaran, 14 daripadanya pada magnitud antara 5.0 hingga 5.9.
Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 3 juta penduduk Haiti terjejas oleh musibah tersebut, dan pada 15 Januari, Menteri Dalam Negeri Haiti, Paul Antoine Bien-Aimé, menjangkakan antara 100,000 hingga 200,000 telah terkorban. Pada 18 Januari, Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive, mengumumkan 70,000 mayat korban telah dikebumikan beramai-ramai. Sementara itu, kekurangan tenaga dan ruang menyebabkan masih banyak mayat bergelimpangan yang belum sempat dikebumikan.
Gempabumi itu telah menyebabkan kerosakan besar ke atas Port-au-Prince dan kawasan sekitarnya. Mercutanda negara itu kebanyakannya musnah atau rosak termasuklah Istana Presiden (President René Préval terselamat), Bangunan Dewan Kebangsaan, Gereja Besar Port-au-Prince dan penjara utama. Tragedi bertambah buruk akibat kemusnahan kebanyakan hospital di kawasan terbabit.




No comments: