Thursday, January 28, 2010

SAKIT BELAKANG - PERGERAKAN LEMBUT DAN BERSEPADU BOLEH MEMBANTU PESAKIT

Ramai orang yang sakit belakang tidak tahu apa yang menyebabkan mereka mengalami masalah itu dan mereka tidak mendapat rawatan yang berkesan. Namun, mengikut satu kajian yang dilakukan di Sahlgrenska Academy, University of Gothenburg, Sweden, belajar atau berlatih untuk melakukan gerakan secara bersepadu mungkin boleh membantu.
"Orang yang sudah lama mengalami sakit belakang, biasanya melindungi diri, secara tidak sedar, dengan menghadkan pergerakan mereka," kata Christina Schön-Ohlsson, seorang jurufisioterapi. "Corak gerakan kurang efisien sedemikian lama kelamaan akan menjadi suatu tabiat yang terus dilakukan meskipun kecederaan atau kesakitan sebenar sudah tiada."

Penyelesaian bagi masalah itu ialah pembelajaran deriaan motor, dimana pesakit dibimbing untuk mengenalpasti bagaimana mereka bergerak dan bagaimana cara untuk bebas dari membelenggu diri sendiri dengan had-had tertentu. Proses ini membolehkan pesakit membangunkan kesedaran tentang kemampuan jasadnya serta mengembalikan keyakinan terhadap deria tubuh badannya. 
Satu daripada kajian itu melibatkan 40 pesakit yang dibahagi secara rawak kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberikan terapi senaman manakala kumpulan yang satu lagi didedahkan kepada pembelajaran deriaan motor.
"Pesakit dalam kumpulan pembelajaran deriaan motor memberitahu bahawa mereka berhasil memperoleh keyakinan diri dan mereka kini rasa mampu untuk mengendali masalah sakit belakang mereka tanpa perlu bantuan rawatan perubatan lanjut," kata Schön-Ohlsson.

Hal itu bertentangan bagi pesakit-pesakit dalam kumpulan senaman. Mereka tidak yakin pada diri sendiri dan amat bergantung kepada nasihat-nasihat dari para pakar sakit belakang.
Secara keseluruhan tujuan tesis tersebut adalah untuk menilai kesan pembelajaran deria motor ke atas pesakit yang telah lama mengalami sakit belakang dan belum pernah mendapat rawatan berkesan. Perubahan positif  dari segi fizikal dan psikologi yang dialami secara subjektif oleh pesakit adalah bersesuaian dengan penilaian objektif dari segi peningkatan kemampuan ruang pergerakan.
Schön-Ohlsson menyimpulkan bahawa pembelajaran deria motor membantu pesakit lebih mengenali kehendak dan kemampuan tubuh badan, yang membolehkan mereka mengatasi masalah sakit belakang yang mereka alami tanpa bergantung kepada orang lain.

No comments: