Sunday, October 25, 2009

MINTA DINAIKKAN CUKAI

Rakyat Malaysia pada amnya tentu merasa gembira ketika Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan melalui Ucapan Bajet 2010 Jumaat lepas, cadangan mengurangkan cukai pendapatan individu maksimum dari 27 peratus kepada 26 peratus. Tambahan daripada itu, pelepasan diri pembayar cukai dinaikkan pula daripada RM 8,000 kepada RM 9,000. Langkah ini, pastinya merupakan salah satu penyebab penurunan anggaran kutipan hasil Kerajaan Persekutuan sebanyak 8.4 peratus kepada RM 148.4bn bagi tahun 2010, berbanding RM 162.1bn pada tahun 2009.

Berlainan pula ceritanya di Jerman apabila sekumpulan dari kalangan rakyat Jerman yang kaya melancarkan petisyen meminta kerajaan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas mereka. Kumpulan itu mendakwa mereka memiliki wang melebihi keperluan, dan kutipan hasil tambahan itu boleh digunakan untuk membiayai program ekonomi dan sosial bagi membantu memulihkan ekonomi Jerman.

Menurut kumpulan itu, Jerman mampu mengutip tambahan 100bn euro (RM 508bn) jika orang-orang paling kaya di negara itu membayar cukai harta sebanyak 5 peratus selama dua tahun.

Setakat ini petisyen tersebut telahpun mendapat 44 tandatangan, dan akan dikemukakan kepada Canselor Jerman yang baru dipilih, Angela Merkel.

Kumpulan itu berkata krisis kewangan masa kini sedang mengakibatkan peningkatan pengangguran, kemiskinan serta kepincangan sosial.

Sumbangan kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani masalah tersebut, mereka mahukan suatu perubahan dalam keseluruhan pendekatan itu.

“Jalan keluar dari krisi ini mestilah dirintis dengan pelaburan yang besar dalam bidang ekologi, pelajaran dan keadilan sosial,” tegas mereka dalam petisyen tersebut.

Mereka yang telah “mendapat kekayaan melalui warisan, kerja keras, kerajinan, keusahawanan, atau pelaburan” hendaklah menyumbang lebih banyak untuk meringankan beban akibat krisis ekonomi yang sedang dihadapi.

Apa agaknya, pendapat para Hartawan Malaysia?

2 comments:

Latarapik said...

Hartawan Malaysia akan kata:

"Engkau dapat tinggi macam gunung aku dapat rendah macam bukit... INI TAK ADIL...!!"

he.. he.. peace.

Lamporre said...

Lebih 1430 tahun lalu, asas ekonomi percukaian telah diperkenalkan oleh manusia yang paling mulia pernah lahir di muka bumi; Muhammad SAW. Kalau manusia berpegang kepada apa yang diperkenalkan maka akan berebut-rebutlah orang mengeluarkan sebahagian perolehannya untuk kepentingan orang lain dengan berZAKAT. Malangnya ramai yang melihat satu cabang zakat sahaja: Zakat Fitrah, manakala yang lain diabaikan, meskipun leher sang isteri dah berlekuk dek si kuning bernama emas.Sudahkah anda berzakat?