Thursday, October 8, 2009

AKSI BENDERA TIDAK MENGGAMBARKAN SIKAP MASYARAKAT INDONESIA

Ketika kita tengah sibuk mengumpul dana untuk membantu mangsa gempa bumi di Padang, segelintir rakan senegara mereka yang menamakan kumpulan mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) sedang mengumpul tenaga untuk menyerang Malaysia. Rancangan kumpulan itu untuk menghantar seramai 1500 orang ahlinya menyusup melalui Borneo dengan bambu runcing memang sukar untuk mencapai kejayaan namun kemungkinan kumpulan itu mengambil tindakan yang tidak rasional terhadap rakyat Malaysia yang berada di Indonesia tidak harus dipandang sepi.

Kumpulan haram (tidak berdaftar) ini pernah cuba untuk melakukan ‘sweeping’, iaitu mencari rakyat Malaysia di sekitar Jakarta, untuk dihantar pulang. Apa yang membimbangkan ialah jika ‘sweeping’ itu bertukar menjadi ‘bleeding’ sehingga memudharatkan rakyat negara ini yang berada di Indonesia. Kita mengharapkan kebenaran kenyataan jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasha yang menegaskan bahawa “aksi-aksi yang kumpulan itu lakukan sama sekali tidak menggambarkan sikap masyarakat Indonesia”.

Akhir-akhir ini terjadi beberapa insiden yang sedikit sebanyak telah mengeruhkan suasana dan menyinggung perasaan kalangan rakyat negara jiran itu. Antara yang mendapat liputan terbesar media tempatan ialah isu ‘tarian pendet’ dan beberapa kesenian tradisi yang lain. Namun, maklumat dari rakan-rakan ‘chat’ di negara itu menunjukkan bahawa isu itu merupakan perkara ‘remeh’ bagi mereka. Yang banyak menyinggung perasaan mereka ialah beberapa kes layanan buruk terhadap tenaga kerja dari negara itu (TKI). Rimbun (rakan ‘chat’) memberikan satu contoh yang mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia telah melaksanakan undang-undang secara robotik ketika menghantar seorang ibu warga Indonesia yang baru dua hari lepas melahirkan ke pusat penampungan pendatang tanpa izin (PTI) hanya kerana permit kerja wanita itu sudah tamat.

Apapun adanya, kekeruhan antara rakyat dua negara berjiran dan serumpun ini hendaklah jangan terus diprovokasikan kerana konflik akan hanya merugikan kedua belah pihak. Demi kemanusiaan kita sokong kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri yang “Bantuan Kemanusiaan ke Padang tetap Diteruskan”.

No comments: