Monday, October 26, 2009

JANGAN SEKADAR MENJADI PENONTON

Kg Kunak Tiga, 25 Oktober 2009. Penduduk Kunak digesa untuk lebih pro-aktif dalam menyambut dan menyertai program-program yang dianjurkan oleh kerajaan samada secara terus oleh agensi-agensi kerajaan, mahupun melalui persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO). Gesaan itu dibuat oleh ADUN Kunak, Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang dalam ucapannya ketika merasmikan penutupan Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) di hadapan kira-kira 700 orang hadirin di Mini Dewan Kampung Kunak Tiga.

“Saya difahamkan bahawa antara matlamat PPMI ini ialah untuk meningkatkan motivasi dan kesedaran kepada penduduk kampong, khasnya di Daerah Kunak ini, untuk menjadi insan yang cemerlang. Selain daripada itu, untuk membina keyakinan diri agar berkemampuan untuk berdikari dalam mengharungi cabaran masa kini”, kata Datuk Nilwan kepada para hadirin.

Menurut Datuk Nilwan, pembangunan minda yang sedemikian adalah amat penting untuk membolehkan masyarakat mengambil bahagian dalam program pembangunan dan seterusnya turut menikmati peningkatan taraf hidup.

“Samada kita suka atau tidak, Kunak akan terus membangun!” kata Datuk Nilwan yang kemudian diam sejenak.

Beliau memandang ke segenap hadirin yang kebanyakan turut senyap. Sebahagiannya kelihatan terpinga-pinga, seakan cuba menafsir lebih mendalam kata-kata pemimpin mereka itu.

“Insya Allah, Kunak akan terus membangun sama seperti daerah-daerah lain di Malaysia, namun, pembangunan di Daerah Kunak ini tidak ada ertinya jika penduduk Kunak hanya sekadar menjadi penonton”, sambung Datuk Nilwan dengan nada yang kian meninggi.

“Apalah ertinya bangunan-bangunan besar dan indah serta rangkaian infrastruktur canggih dibina di Kunak, jika masyarakat Kunak tidak mampu memiliki bangunan-bangunan itu dan gagal memanfaatkan infrastruktur yang disediakan?

“Namun itulah yang bakal terjadi jika kita malas untuk mengambil bahagian dalam program-program seperti ini.

“Oleh itu, sekali lagi saya menyeru kepada saudara-saudari penduduk Kunak sekalian, berikan sokongan dan sertailah program-program seperti ini”, seru Datuk Nilwan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Hafizan Kamarulzaman selaku pegawai yang mewakili Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), serta Dr Hj Azizan Ahmad selaku ketua rombongan relawan dari Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang terdiri dari Dr Rofiah Ali, Dr Asmarawati Mohd Yatim, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa, Dr Nor Azian Hasnan, Dr Wan Zalila Izuddin, Dr Zamrin Diman, Dr Basir Tawil, Dr Hamimah Saad, Tuan Hj Ibrahim Abd Rahman, Encik Fadzil Husin dan Encik Kadir Mahmood.

Program dua hari itu telah berlangsung di Kampung Pangi pada 24 Oktober dan Kampung Kunak Tiga pada 25 Oktober. Ia dianjurkan oleh KKLW dan dilaksanakan oleh HALUAN.

No comments: