Wednesday, November 21, 2012

Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kunak

Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) merupakan antara agensi kerajaan yang sangat rapat hubungannya dengan rakyat. Agensi ini diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Di DUN Kunak fungsi utama UPKR adalah sebagai penyelaras antara rakyat dengan kerajaan terutama dari segi penyampaian bantuan kerajaan kepada rakyat dan juga projek-projek kecil pembangunan kampung.

Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan N51 Kunak

Lokasi Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasn N51 Kunak

UPKR Kawasan Kunak diketuai oleh seorang Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) dan dibantu oleh seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) dan beberapa kakitangan termasuk Pembantu Pembangunan Masyarakat (PPM), Penyelia Kemajuan Masyarakat (PKM) dan Pemaju Mukim (PM). Di samping itu seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (PJKKK) dilantik dari setiap kampung bagi mengetuai penyelarasan pembangunan di peringkat kampung masing-masing.

Mesyuarat yang dihadiri oleh semua kakitangan UPKR dan pengerusi JKKK diadakan setiap bulan bagi membincangkan permasalahan dan keperluan rakyat serta rancangan pembangunan di setiap kampung. Dalam mesyuarat itu juga, pengerusi JKKK menyampaikan permohonan-permohonan pembangunan yang diperlukan di kampung masing-masing. Oleh yang demikian sebaik-baiknya penduduk DUN Kunak hendaklah mengemukakan kepada pengerusi JKKK di kampung masing-masing sekiranya ada keperluan bantuan atau pembangunan dari kerajaan yang difikirkan perlu. 

Pemaju mukim akan melawat kampung-kampung yang membuat permohonan bagi menilai tahap desakan keperluan projek serta anggaran kos projek yang dipohon. Keutamaan akan diberikan kepada projek-projek yang diklasifikasikan sebagai keperluan mendesak, iaitu projek-projek yang apabila tidak dilaksanakan akan menjejaskan aktiviti harian penduduk, misalnya pembaikan jalan, jembatan dan titi, dan sebagainya.

Pemaju mukim akan mengemukakan laporan penilaian kepada PKR dan dimana perlu, PKR akan memanggil kakitangan UPKR yang lain bagi membincangkannya. Seterusnya permohonan itu dikemukakan kepada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri yang akan menyalurkan permohonan tersebut kepada jabatan, agensi dan kementerian yang berkenaan.

Selain daripada fungsi utama itu, UPKR Kunak secara am juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kunak dan lain-lain jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun serta swasta bagi menyelaras aktiviti-aktiviti yang melibatkan penduduk kampung.

No comments: