Thursday, November 8, 2012

Siapa "Melayu"?

Pos ringkas ini sekadar sebagai sedikit pencerahan tentang istilah bangsa "Melayu" yang kebelakangan ini kerap dimanipulasi atau mengikut istilah semasa "dispin" oleh golongan tertentu untuk tujuan tertentu, terutama menjelang pilihanraya.

Istilah Melayu dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Malaiur atau Malayadvipa yang bermaksud "tanah bergunung-ganang". Istilah itu digunakan oleh pedagang-pedagang India pada zaman dahulu apabila menceritakan tentang Semenanjung Malaysia. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa ianya berasal dari perkataan Tamil iaitu Malai yang bermaksud "gunung". Istilah tersebut kemudian digunapakai oleh sebuah kerajaan yang wujud di Sumatra pada abad ke-7 hingga abad ke-13 yang menamakan kerajaan mereka sebagai Kerajaan Melayu.

Pada tahun 1826 Jules Dumont d'Urville seorang pelayar berbangsa Perancis mencipta istilah Malaysia, Micronesia dan Melanesia bagi membezakan kelompok-kelompok budaya dan pulau-pulau yang ketika itu pada keseluruhannya dikenali sebagai Polynesia. Beliau menakrifkan Malaysia sebagai "kawasan-kawasan yang umum dikenali sebagai East Indies (ketika itu). Dalam tahun 1850, seorang ahli etnologi (ilmu kajian etnik) berbangsa Inggeris iaitu George Samuel Windsor Earl dalam tulisann beliau di Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, mencadangkan agar pulau-pulau di Asia Tenggara dinamakan sebagai Melayunesia atau Indunesia.

Kepulauan Melayu (The Malay Archipelago) lukisan John Rapkin
dan diterbitkan oleh The London Printing & Publishing Company (1856)
Pada tahun 1957 apabila negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mencapai kemerdekaan ia dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Nama negara "Malaysia" digunapakai dalam tahun 1963 ketika Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan baru. Sebelum itu istilah tersebut digunakan sebagai merujuk kepada keseluruhan Kepulauan Melayu. Ahli-ahli politik di Filipina juga pernah bercadang untuk menamakan negara mereka sebagai "Malaysia" tetapi pemimpin-pemimpin negara Malaysi yang ada hari ini telah bertindak lebih awal.


No comments: