Monday, November 19, 2012

Daerah Kunak - Pengenalan

Daerah Kunak mencapai status daerah penuh pada 01 Julai 1981. Sebelumnya, Kunak berstatus daerah kecil yang diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Daerah di bawah pentadbiran Daerah Lahad Datu.

Terletak di muara Teluk Lahad Datu (dahulu dikenali sebagai Darvel Bay), Daerah Kunak meliputi kawasan seluas 438 batu persegi atau 1134 kilometer persegi. Daerah-daerah yang berhampiran ialah Lahad Datu di utara, Tawau di selatan dan Semporna di sebelah tenggara.



Pada amnya topografi kawasan Daerah Kunak ialah beralun dan tidak terdapat kawasan paya air tawar yang luas. Puncak paling tinggi ialah Gunung Mostyn (450 m). Banjir hanya berlaku di kawasan berhampiran sungai, itupun ketika hujan lebat yang berpanjangan dan jika kebetulan pada ketika itu air laut sedang pasang. Biasanya banjir itu tidak lama dan segera surut bersama surutnya air laut.

Mengikut bancian tahun 2010 penduduk Daerah Kunak berjumlah 62,851 orang. Suku kaum utama penduduk daerah ini ialah Bajau, Bugis dan Suluk disamping suku-suku kaum yang lain seperti Dusun, Idahan, Murut, Cocos, Cina dan lain-lain. Aktiviti ekonomi utama penduduknya ialah yang berkaitan dengan pertanian dan perikanan

Selain daripada kawasan hutan simpan, sebahagian besar kawasan tanah di Daerah Kunak ditanam dengan kelapa sawit kebanyakannya oleh syarikat-syarikat perladangan. Nelayan Daerah Kunak menjalankan kegiatan menangkap ikan di sekitar Teluk Lahad Datu. Selain daripada kaedah tradisi menggunakan bot, nelayan Kunak juga terkenal dengan alat menangkap ikan yang statik iaitu bagang.














No comments: