Kereta Pertama - Keluarga berkenaan sudah lama memiliki kereta itu, sejak jalan di kampung mereka belum lagi bertar. Kereta pertamalah katakan. Pemandunya pun sudah beberapa kali bertukar ganti, ada yang memandu buat beberapa tahun sahaja dan ada pula yang sampai berpuluh tahun. Namun semua pemandunya menjaga kereta itu dengan cermat.
Setiap pemandu berusaha untuk menambahbaik keadaan kereta itu. Peralatan dan aksesori kereta diganti dengan yang lebih baik mengikut pencapaian teknologi terkini dan disesuaikan pula dengan keperluan berdasarkan pengalaman berpuluh tahun di jalanraya. Pendek kata hanya nombor pendaftaran kereta itu yang lama. Keadaan sebenarnya semua serba baru dan terkini.
Pemandu barunyapun boleh tahan! Dia memahami kehendak keluarga itu serta arif cara memandu agar seisi keluarga selesa dalam perjalanan dan sampai ke destinasi dengan selamat.
Kereta Kedua - Suatu hari ketika keluarga terima panggilan telefon dari seorang ejen penjual kereta. Ejen itu memberitahu bahawa kereta yang keluarga itu miliki sudah terlalu lama, usang dan tidak lagi dapat memberikan khidmat yang memuaskan. Konon pemandunyapun tidak boleh dipercayai. Ejen itu mendakwa bahawa pemandu itu selalu membawa rakan-rakannya bersiar-siar menggunakan kereta berkenaan.
Maka ejen itupun cuba mempengaruhi keluarga berkenaan agar menukar kereta mereka. Dia dan rakan-rakannya menawarkan diri pula untuk menjadi pemandu, sampai berebut-rebut. Ejen itu menawarkan sebuah kereta yang didakwanya sebuah kereta baru.
Walhasil, keluarga tersebut bersetuju untuk ejen itu datang membawa kereta yang dikatakan itu untuk mereka pandu-uji. Ternyata mereka kenal ejennya kerana pernah menjadi pembantu kepada pemandu kereta keluarga itu suatu ketika dulu. Pemandu yang dulu itu memecatnya atas sebab salahlaku. Betul atau tidak, Wallahualam.
Kereta yang ditawarkan pula hanya nombor pendaftaran dan catnya yang baru. Entah cat apa yang mereka guna, langsung tiada seri. Casisnya, badannya, steeringnya dan komponen-komponen lainnya semua lama. Beberapa komponen dan asesori yang dipasang ternyata komponen dan aksesori dari kereta pertama keluarga tersebut. Mereka telah membuangnya dan menggantikan dengan yang lain sebab tidak serasi dan selalu meragam. Tayarnyapun sudah botak.
"Itu bukan kereta baru tapi cantuman barang buangan", bisik si isteri kepada suaminya.
"Betul Yang", jawab si suami. "Cenderung untuk kereta ni terbabas dan kemalangan".
"Kalau begitu, kita kekal saja dengan kereta yang kita ada sekarang", si isteri mencadang. "Janganlah kita dedahkan anak-anak kepada bahaya dan keadaan yang tidak menentu. Lagipun selama bersama kereta kita ini, keadaan hidup kita sekeluarga makin hari makin bertambah baik".
Mendengar kata-kata pasangan suami-isteri tersebut, ejen itu naik berang. Maka keluarlah kata-kata kesat dari mulutnya itu menghina mereka dengan pelbagai kata-kata keji. Dalam masa yang sama dia cuba pula memujuk anak-anak keluarga itu agar mendesak dan memberontak agar ibubapa mereka menukar kereta.
1 comment:
dalam maksud cerita ni..terbaik bro.
Jangan gadaikan 'nyawa dan keluarga' kerana nak cuba sesuatu yg baru sdgkn yg baru itu telah dimaklumi akan keburukannya...
Bijak2lah dalam membuat keputusan sblm membuat sesuatu pilihan.
Post a Comment