Sunday, November 25, 2012

Kerepek Pisang Sabah

Dipercayai bahawa nama negeri Sabah berasal dari nama sejenis pisang iaitu "pisang saba". Di Malaysia dewasa ini jenis pisang tersebut sudah umum dikenali sebagai pisang Sabah.  Lain-lain nama ialah pisang nepah , pisang kepok dan pisang menurun

Antara banyak pisang, pisang Sabah yang paling sedap dijadikan pisang goreng. Jenis pisang tersebut memang sukar ditemui di Semenanjung Malaysia dan sebagai antara penggemar pisang goreng, sewaktu bekerja di Negeri Sembilan (1991-93) saya telah membawa benih pisang tersebut dari Sabah dan menanamnya di halaman rumah.

Pisang Sabah sebenarnya merupakan hibrid (kacukan) antara dua jenis pisang yang mempunyai biji, iaitu Musa balbisiana dan Musa acuminata. 

Selain daripada dijadikan pisang goreng, pisang saba juga dijadikan kerepek. Di Kunak ramai pengusaha Industri Asas Tani (IAT) yang menghasilkan kerepek pisang, antaranya ialah Produk Desa Enterprise (PDE) yang menghasilkan dua rasa kerepek pisang, iaitu masin dan manis. 

Pengusaha PDE amat teliti ketika memilih pisang untuk dijadikan kerepek. Hanya pisang yang berada pada tahap kematangan tertentu yang akan diterimanya. Menurutnya, kerepek yang diperbuat daripada pisang yang terlalu muda akan menyerap terlalu banyak minyak ketika digoreng dan cepat membosankan untuk dimakan. Sebaliknya jika pisang terlalu matang kerepek yang dihasilkan tidak seberapa garing dan kurang menyelerakan. Kesimpulannya, dari sudut kematangan pisang, beliau akan pilih "yang sedang-sedang saja".

Selain daripada tahap kematangan, pengusaha PDE juga amat mementingkan kesihatan buah pisang yang dipilih. Menurut beliau buah pisang yang sihat biasanya kelihatan gebu dan mempunyai kulit yang "hijau ceria" tanpa banyak bintik-bintik cokelat kehitaman. Pisang dalam gambar di bawah ini telah "lulus pemilihan".

Pisang Sabah
Untuk dijadikan kerepek, kulit pisang dibuang dan isinya dihirir tipis secara memanjang. Hirisan-hirisan itu kemudian dicelup ke dalam ramuan perisa (masin atau manis) sebelum digoreng dengan minyak yang telah dipanasakan menggunakan api yang perlahan. Setelah cukup masak dan garing kerepek pisang itu diangkat, ditoskan dan sedia untuk dihidang. Amat sesuai dimakan sambil menonton siri kegemaran di kaca tv bersama keluarga.



No comments: