Wednesday, December 15, 2010

Langkah-Langkah Mengurangkan Kes Kemalangan Jalanraya Kunak-Lahad Datu Perlu Disegerakan

Wartawan yang berpengkalan di Daerah Kunak melaporkan berlakunya lagi kemalangan di jalanraya Kunak-Lahad Datu melalui blog beliau Kunak Press. Kemalangan sememangnya kerap berlaku di sepanjang laluan berkenaan sehingga menurut Kunak Press, ramai yang menganggap laluan tersebut sebagai "jalan berhantu". 
Tidak hairanlah bila ADUN Kunak menitikberatkan keperluan untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengurangkan kes kemalangan jalanraya di sepanjang laluan berkenaan. Beliau telah membahaskan perkara tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang berlangsung November tahun ini secara agak terperinci. Berikut adalah petikan ucapan bahas beliau mengenai perkara tersebut:

Jalan Raya Kunak-Lahad Datu

Tuan Speaker,
 28.         Kenyataan YAB Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2011 bahawa kerajaan hari ini telah melakukan yang terbaik dalam sejarah pembangunan infrastruktur di negeri Sabah termasuk peningkatan liputan dan penyenggaraan rangkaian jalanraya, adalah hakikat yang harus diterima.  Buktinya dapat dilihat dengan semakin meningkatnya bilangan kenderaan di jalan raya. Hakikat harus juga diterima bahawa peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya itu turut menyumbang kepada peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya.
29.         Satu daripada laluan dimana paling banyak dilaporkan berlaku kemalangan maut akhir-akhir ini ialah jalan raya yang menghubungkan Kunak dengan Lahad Datu. Saya mencadangkan agar laluan ini diberi perhatian khusus kerana bilangan pengguna laluan tersebut dijangka mendadak meningkat dengan kemasukan 15,000 pelajar tempatan dan antarabangsa, yang akan menuntut di Sandakan Education Hub bermula tahun hadapan. Pastinya laluan ini akan menjadi laluan utama pelajar-pelajar tempatan dari Kunak, Tawau dan Semporna juga pelajar-pelajar antarabangsa dari negara jiran Indonesia, khususnya Kalimantan.
 30.         Faktor-faktor khusus bagi laluan tersebut yang mungkin menyebabkan kemalangan jalanraya kerap berlaku hendaklah dikaji dengan teliti dan terperinci diikuti dengan langkah-langkah bagi mengatasinya.
31.         Di dewan yang mulia ini, sukacita saya ingin berkongsi pandangan secara kasar beberapa faktor yang secara holistik mungkin telah menyebabkan kemalangan kerap berlaku di laluan berkenaan berbanding jalan raya lain di negeri ini:
Pertama: Pada jalan raya Kunak-Lahad Datu terdapat banyak kawasan di mana selekoh tajam berada pada bahagian cerun. Saya cadangkan dimana mungkin, agar di kawasan-kawasan sedemikian ketajaman selekoh dikurangkan atau jalan dilebarkan.
Kedua: Jalan raya Kunak-Lahad Datu banyak dilalui oleh lori-lori tangki yang membawa minyak sawit mentah (CPO) dan juga lori-lori yang membawa buah sawit. Ketirisan CPO yang sedikit mungkin tidak disedari tetapi lama kelamaan ia semakin bertambah dan terkumpul menyebabkan permukaan jalan menjadi licin. Demikian juga halnya dengan buah sawit lerai yang jatuh sebiji dari sebuah lori dilihat sebagai tidak menimbulkan sebarang kesan. Namun, dalam jangkamasa sebulan cukup banyak buah sawit lerai yang jatuh ke atas jalan raya dan minyak yang keluar dari buah lerai itu cukup untuk menjadikan permukaan jalan menjadi licin sehingga menyebabkan kenderaan mudah terbabas. Saya cadangkan agar suatu kaedah dicari untuk kerja-kerja berjadual bagi “meneutralisasikan” minyak tersebut disamping langkah-langkah bagi mencegah tumpahan minyak ke atas jalan raya.
 Ketiga: Tidak terdapat kawasan R & R bagi para pemandu dari Tawau dan Semporna yang menuju ke Lahad Datu untuk berhenti rehat dan serba sedikit memeriksa keadaan kenderaan. Kita semua tahu melalui iklan-iklan kempen keselamatan jalan raya bahawa pemandu yang letih dan tidak sempat berehat seketika amat cenderung untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.  Oleh yang demikian maka amat wajarlah kawasan R & R yang cukup selesa disediakan di Daerah Kunak, yang terletak benar-benar di pertengahan antara Tawau dan Lahad Datu, juga antara Semporna dan Lahad datu. Nyatalah, disamping menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi seperti yang telah saya sebutkan lebih awal tadi, kawasan R & R di Kunak juga amat diperlukan untuk mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya.

No comments: