Friday, December 17, 2010

Rumah PPRT di Kg Buang Sayang Ranap Akibat Angin Kencang

Sebuah rumah PPRT di Kampung Buang Sayang Kunak ranap akibat tiupan angin kencang. Menurut Encik Pinu, ketua keluarga yang menghuni rumah tersebut, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang pada Rabu, 15 Disember 2010.

Rumah PPRT Encik Pinu yang ranap


Barangan milik keluarga mangsa yang sempat diselamatkan

Sementara Pinu membina pondok sementara, ahli-ahli keluarganya
berteduh di bawah pokok berhampiran 

Encik Pinu (memakai topi) mendirikan pondok sementara dengan
dibantu oleh anak-anak lelakinya

"Mujurlah pada waktu itu hanya saya seorang yang berada dalam rumah sebab ahli-ahli keluarga saya yang lain berada di rumah jiran yang mengadakan persiapan kenduri", kata Pinu.

Menurut saksi, angin kencang itu berpusar seakan-akan puting beliung yang bergerak dari arah laut lalu melanda rumah Encik Pinu. Tiga buah rumah PPRT yang berhampiran tidak mengalami sebarang kerosakan. Kesemua rumah PPRT berkenaan dibina kira-kira 5 tahun dahulu.
Datuk Nilwan Kabang (ADUN Kunak) menyampaikan bantuan
wang tunai kepada mangsa

Pada tengahari 16 Disember 2010, ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang telah melawat keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan segera dalam bentuk wang tunai untuk meringankan beban mereka. Mangsa juga akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan rumah PPRT yang baru bagi program tersebut untuk tahun 2011. Sementara itu, Datuk Nilwan meminta keluarga mangsa bersabar atas musibah yang menimpa itu. 


"Hanya sedikit sahaja bantuan yang dapat saya hulurkan buat masa sekarang. Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai musibah ini", kata Datuk Nilwan kepada Pinu.


Dengan senyum simpul Pinu menjawab, "Kedatangan YB melawat kami adalah yang paling berharga bagi saya dan keluarga. Bantuan yang YB beri itu soal kedua dan bagi kami amat besar nilainya".

Sebagai langkah sementara sebelum pembinaan rumah PPRT baru, mangsa yang mengaku berkebolehan sebagai tukang kayu, akan diberikan bantuan bahan binaan untuk membina rumah sementara sebagai tempat berteduh. 

Pemaju mukim bagi Mukim Madai yang turut melawat mangsa di tempat kejadian memaklumkan yang pihaknya juga sedang mengatur bersama Pejabat Kebajikan Daerah Kunak untuk membekalkan barangan keperluan harian khususnya barangan makanan kepada mangsa.

1 comment:

putri aidatul adriana said...

PPRT di Kg jaya baru khususnya di belakang kuburan cina hanya di berikana dikalangan keluarga,tidak percaya pegi lihat sendiri...