Tuesday, December 28, 2010

Piala AFF Suzuki: Percaturan K Rajagopal vs Alfred Riedl

Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad 26 Disember 2010,  menyaksikan Kelincahan Norshahrul Idlan menggelecek bola yang amat mengkagumkan. Dua kali Norshahrul berjaya mengatasi kawalan ketat pihak lawan lalu mengumpan bola yang menghasilkan gol, pertama melalui Safee Sali dan yang kedua menerusi Ashari Samsudin.

Kemenangan pasukan muda 'Harimau Malaya' pada bahagian pertama perlawanan akhir Piala AFF Suzuki ini amat bermakna bagi peminat bolasepak tanahair. Yang paling membanggakan ialah keseluruhan pasukan, termasuk pengurus dan jurulatih adalah terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri. Ini membuktikan bahawa orang Malaysia mampu berjaya dalam bidang bolasepak tanpa bantuan pemain atau jurulatih impot.

Pasukan Malaysia untuk Piala AFF Suzuki 2010
Perlawanan sengit dan penuh kejutan Piala AFF Suzuki akan mencapai klimaks di Stadium Bung Karno Rabu ini. Diharapkan pemain-pemain muda kita akan gigih mempertahankan kelebihan 3 gol ke atas pasukan Indonesia. 

Persembahan mantap pasukan Malaysia pada separuh masa kedua perlawanan menunjukkan taktik K Rajagopal yang jitu di mana, selepas rehat masa pertama, beliau telah memasukkan Ashari untuk membuat serangan dari bahagian tengah.

K Rajagopal telah mengarah anak-anak buahnya untuk lebih berani membuat serangan yang ternyata membuahkan hasil lumayan.
Dengan kelebihan 3 gol, tentunya pemain Malaysia cenderung untuk memperketat kawalan agar gawang Malaysia tidak ditembusi lawan. Taktik itu berjaya mempertahankan kelebihan 2 gol ketika bertemu pasukan Vietnam di Stadium My Dinh. Namun begitu, K Rajagopal mungkin ada taktik yang lebih baik. 


Tentunya pula banyak yang sedang bermain di kepala jurulatih Indonesia, Alfred Riedl. Tidak syak, tentunya beliau akan memperketat kawalan ke atas Norshahrul dan Safee serta sedikit sebanyak ke ata Ashari. 

Pada perlawanan pembukaan Indonesia telah membenam Malaysia 5-1. Riedl mungkin akan cuba mengimbas kembali detik-detik manis itu bagaimana pasukannya boleh memperoleh kemenangan yang begitu besar dan menggunakan kembali strategi tersebut.

Apapun, bahagian kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Bung Karno Rabu ini dijangka hangat dan merupakan pertarungan yang sengit. Pemain Malaysia dan Indonesia nampaknya sama hebat dan percaturan yang sebenar ialah kehebatan antara K Rajagopal berbanding Alfred Riedl.








No comments: