Lima tahun dahulu, penggunaan ubi kayu atau nama saintifiknya, Manihot esculenta, amat terhad. Ketika itu ia setakat digunakan sebagai makanan sampingan terutama di kalangan suku kaum Bajau dan juga untuk membuat kuih-muih untuk hidangan seisi keluarga.
Di pasar terbuka Kunak, atau lebih dikenali sebagai Pasar Minggu oleh penduduk tempatan, pada setiap hari Ahad, kelihatan longgokan ubi kayu tinggal menjadi kering atau buruk kerana pengeluaran oleh para petani dan pekebun kecil melebihi permintaan.
Kini keadaan itu amat berbeza. Jarang ditemui ubi kayu dijual di Pasar Minggu Kunak. Hal ini adalah kerana permintaan pasaran yang agak tinggi di Daerah Kunak. Tentunya para petani yang mengusahakan ubi kayu samada sebagai tanaman utama mahupun sampingan merasa lega.
Permintaan hasil pertanian itu menjadi tinggi berikutan usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pertanian Kawasan Kunak melalui Kumpulan Petani Wanita Maju (KPWM). Tiga atau empat tahun yang lalu KPWM telah menganjurkan beberapa siri kursus dengan sasaran khas kepada suri rumahtangga yang tidak bekerja. Kursus yang bertujuaan untuk membantu meningkatkan pendapatan isirumah membimbimbing para peserta untuk mengusakan produk berasaskan pertanian bermula dari rumah.
Sambutan amat menggalakkan terutama dari kalangan peserta kursus yang diadakan di Balairaya Kg Cenderawasih. Beberapa orang suri rumahtangga dari kampung tersebut telah memulakan perusahaan kecil dengan membuat kerepek menggunakan ubi kayu sebagai bahan asas.
Seorang daripada suri rumahtangga tersebut ialah Puan Striani Binti Mohd Ali. Bermula dengan modal sejumlah RM 200 yang diambil dari lebihan belanja dapur yang diberikan oleh suaminya setiap bulan, Puan Striani mula mengaplikasi ilmu yang dipelajarinya dari kursus anjuran KPWM itu.
Beliau bermula dengan membuat kerepek ubi bergula bersaiz besar. Di peringkat awal kerepek yang dihasilkan oleh beliau tidak begitu memuaskan seperti keadaan kurang rangup, gula mudah cair dan sebagainya. Dengan kegigihan, beliau terus mencuba dengan mengubahsuai komposisi bahan yang disyorkan. Akhirnya beliau berjaya menghasilkan antara kerepek ubi bergula yang paling mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan.
Kebanyakan kerepek keluaran beliau dipasarkan di Gerai Simpang Empat Kunak berhampiran dengan bulatan utama daerah ini.
Kini Puan Striani telah mempelbagaikan jenis produk kerepek ubinya menggunakan jenama Produk Desa. Selain daripada kerepek ubi bergula, Produk Desa juga menyediakan kerepek ubi dengan perisa kari, tenusu, black pepper, dan kerepek ubi pedas. Produk lain ialah kuih bahulu bijan, keropok lekor, keropok ikan dan kerepek pisang.
Untuk tempahan jualan borong, Puan Striani boleh dihubungi melalui telefon bimbit 016-5848727 atau kediaman 089-854039 atau email: anural25@gmail.com.
No comments:
Post a Comment