Sunday, May 16, 2010

JELAJAH POTENSI PRODUK PELANCONGAN DAERAH KUNAK


Hujan yang turun pada pagi Sabtu, 15 Mei 2010, gagal mematahkan hasrat rombongan untuk melawat beberapa lokasi menarik dan berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan di Daerah Kunak. Dengan menggunakan 7 buah kenderaan, rombongan yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Nilwan Kabang (ADUN Kunak) itu bertolak dari Pekan Kunak pada pukul 8:30 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai.
Sepuluh minit kemudian, rombongan tiba di pintu masuk Ladang Sime Darby Mostyn. Pengawal Keselamatan menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra. Mereka telah diberi arahan lebih awal oleh pihak pengurusan Sime Darby Plantation untuk membantu melancarkan ekspedisi rombongan.

Hujan reda seketika dan kamipun mengambil kesempatan untuk bergambar di hadapan papan tanda Ladang Mostyn.
Sejurus kemudian kami bertolak ke Ladang Sime Darby Sungang untuk melawat kawasan Kolam Air Panas Sungang. Pengawal Keselamatan di pintu masuk ke Ladang Sungang menyambut ketibaan kami dan mengiring sehingga ke lokasi.





Dari lokasi Kolam Air Panas Sungang, kami berpatah balik ke Ladang Mostyn untuk melihat bangunan yang pernah diguna sebagai balai polis tentera Jepun pada masa Perang Dunia Kedua. Bangunan yang dibina pada tahun 1942 itu masih utuh seperti asal. Hanya bumbung kayu bilian yang telah ditukar dengan bumbung asbestos.
Tidak jauh dari bangunan itu terdapat pula puing-puing bangunan kuil dan markas tentera Jepun. Terdapat sebuah bukit batu ke Utara yang dikatakan sebagai tempat menjalankan hukuman gantung.

Hujan turun lagi. Kami meneruskan perjalanan ke lokasi Terowong Misteri Mostyn. Lokasi yang kami lawati bukanlah pintu terowong yang sebenar. Ia merupakan runtuhan bumbung terowong yang membawa kepada penemuan terowong tersebut pada pertengahan tahun 1980an.


Ada yang mengandaikan bahawa terowong tersebut telah dibina oleh pihak tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Dikatakan bahawa panjang terowong ialah 12 kilometer dan mempunyai 5 cabang. Spekulasi juga turut menyatakan yang terowong tersebut tembus hingga ke Kampung Simpang Empat dan pesisiran Pantai Kunak. Namun begitu, tidak terdapat dokumentasi mengenai panjang sebenar terowong dan bagaimana ia wujud.
Bagi penulis, andaian bahawa ia dibina oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua sukar diterima. Ini adalah kerana, tentera Jepun menduduki Negeri Sabah hanya dalam tempoh 4 tahun. Agak luar biasa untuk mereka mampu membina terowong selebar lebihkurang 15 kaki dengan ketinggian juga 15 kaki sepanjang 12 km seperti yang didakwa dalam tempoh tersebut. Perlu diingat bahawa jentera pengorek di Borneo pada ketika itu belum ada lagi. Mungkinkah terowong itu sebenarnya merupakan "gua bawah tanah"? Wallahu a'lam.






Dari Terowong Misteri Mostyn, kami meneruskan perjalanan ke lokasi Kolam Lumpur Binuang. Dua orang anggota Polis Bantuan Ladang Sime Darby Binuang mengiringi kami ke lokasi.



Di kawasan ini terdapat dua buah kolam lumpur dengan jarak 100 meter antara satu sama lain. Menurut cerita para pekerja ladang yang kami temui, kolam-kolam tersebut dikatakan sebagai "pasangan suami isteri". Kolam besar dan kerap dikunjungi dikatakan sebagai kolam perempuan manakala kolam yang lebih kecil dan masih terlalu sedikit yang mengetahui tentang kewujudannya dikatakan sebagai kolam lelaki.
Pekerja ladang yang berasal dari Sulawesi, Indonesia percaya bahawa kolam lumpur itu ada hubungkait dengan laut Selat Makassar. Justeru, sebelum mereka berangkat ke Sulawesi untuk bercuti, mereka akan melawat kolam lumpur tersebut dan memerhatikan keadaan gelegak atau gelembung lumpur di kolam tersebut. Jika gelegak lumpur agak besar, bermakna keadaan laut di Selat Makassar agak bergelora. Dalam keadaan sedemikian, mereka akan menangguhkan pelayaran.
Sebaliknya, jika keadaan kolam tenang, laut di Selat Makassar juga agak tenang.
Sewaktu lawatan ini, kolam aktif bergelegak.





Ada beberapa kawasan yang mungkin lebih menarik dalam perancangan untuk kami lawati. Insya Allah, di lain kesempatan...
Penat sudabah...

Lagi gambar dan laporan di Kunak Press




No comments: